Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO mahu k'jaan siasat dakwaan media Filipina

Kerajaan digesa menubuhkan satu suruhanjaya bagi menyisasat dakwaan media Filipina dan agensi berita Reuters yang melaporkan ahli politik pembangkang terlibat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Pesuruhjaya Pertubuhan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Negeri Kedah Khairul Anuar Ramli berkata sehubungan itu, satu laporan polis berhubung isu pembabitan pembangkang dalam kes tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di Kulim petang ini.

Pemimpin pembangkang dikatakan menemui pihak Kesultanan Sulu sejak November tahun lalu dan tindakan itu mengancam keselamatan dan kedaulatan negara menyebabkan tujuh anggota pasukan keselamatan terkorban," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut.

Hadir sama Presiden Bertindak Anti Penyelewengan Negeri Kedah Saiful Ambar Abdullah Ambar bersama lebih 50 anggota dan penyokong badan tersebut.

Khairul Anuar turut membantah sekeras-kerasnya kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang mendakwa pencerobohan kes tembakan yang mengorbankan nyawa anggota keselamatan negara merupakan satu konspirasi Umno untuk menakut-nakutkan rakyat menjelang pilihan raya umum kelak.

“Pucuk pimpinan PKR harus bertanggung jawab atas kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat itu," katanya.

Katanya kenyataan sedemikian seolah-olah menggambarkan bahawa nyawa anggota pasukan keselamatan yang terkorban tiada nilai langsung di sisi pimpinan PKR berkenaan.

Katanya sewajarnya Tian Chua bersikap profesional dan sensitif dengan kesedihan keluarga keluarga anggota yang terkorban kerana kenyataan itu merupakan hasutan supaya rakyat membenci pihak berkuasa dan jika dibiarkan boleh menimbulkan keadaan tidak tenteram kepada keselamatan negara.

“Saya mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan serta pendakwaan  seadil-adilnya," katanya.

Khairul Anuar turut meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya bertindak segera menghentikan “amaran-amaran” yang tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada penceroboh-penceroboh tetapi lebih tegas bertindak dengan apa cara sekali pun untuk memastikan krisis yang berlaku dapat dihentikan serta merta.

“Kita tidak rela lebih banyak nyawa anggota pasukan keselamatan yang menjalankan operasi di Lahad Datu dan Semporna terkorban. Ini penting  untuk memberi persepsi kepada rakyat situasi dalam negara kita boleh dikawal.     

“Selain daripada itu kami meminta supaya agensi-agensi yang lain seperti Angkatan Tentera Malaysia turut campur tangan dalam memastikan keselamatan negara terjamin," katanya.

Di Pasir Puteh, Kelantan, lebih 50 wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan Umno bahagian Pasir Puteh hari ini membuat laporan polis bagi mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap "dalang" insiden pencerobohan itu.

Antara NGO terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini ialah Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Pesara Polis, Persatuan Pekebun Kecil, anggota Majlis Belia Jajahan dan wakil guru jajahan Pasir Puteh selain anggota Umno, pada pukul 11 pagi ini.

"Risikan dan penyiasatan yang menyeluruh berhubung insiden berdarah yang menyebabkan kematian beberapa anggota pasukan keselamatan perlu dilakukan termasuk meneliti dakwaan terhadap mereka ke muka pengadilan, " kata Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman kepada pemberita di Pasir Puteh.

Beliau berkata laporan media Filipina yang menyebut terdapatnya campur tangan pihak pembangkang di negara ini yang didakwa sebagai dalang utama pencerobohan itu juga perlu diberi penelitian yang khusus.

"Kami tidak mahu pemimpin sedemikian menyebarkan fitnah membenci kerajaan dan bertindak mencabar kedaulatan undang-undang negara yang mengakibatkan kehilangan nyawa wira negara," katanya.

Zawawi berkata insiden berdarah di Lahad Datu yang sehingga ini telah mengorbankan beberapa nyawa termasuk dua perwira negara iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud dari Unit Komando 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu memerlukan tindakan susulan untuk membongkar siapa sebenarnya dalang di sebalik pencerobohan yang berlaku di daerah itu.

Beliau juga berkata isu pencerobohan yang berlaku adalah isu nasional yang membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara yang sepatutnya tidak wajar dikaitkan dengan kepentingan politik.

- Bernama

ADS