Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jenazah anggota keselamatan yang gugur dihantar pulang
Diterbitkan:  Mar 4, 2013 12:31 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Jenazah dua pegawai dan empat anggota polis yang terkorban dalam kejadian tembakan di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna kelmarin, akan dihantar balik ke kampung masing-masing hari ini.

"Jenazah akan diterbangkan bermula pukul 1 petang ini dari Lapangan Terbang Tawau," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pada taklimat media di Felda Sahabat, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu, pagi ini.

Mereka yang terkorban ialah Supt Ibrahim Lebar dari Bukit Aman, ASP Michael Fadil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sarjan Detektif Baharin Hamid dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Sarjan Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Kpl Salam Tongiran (IPD Tawau) dan L/Kpl Mohd Azrol Tukiran (PGA Tawau).

Hamza berkata senarai penuh nama pegawai dan anggota yang terkorban akan dipapar pada laman sesawang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua mereka terkorban selepas diserang hendap ketika melakukan siasatan di kampung itu susulan maklumat mengatakan ada kumpulan bersenjata bersembunyi di situ.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, enam lelaki daripada kumpulan penceroboh bersenjata tersebut turut maut.   

Menurut Hamza, polis masih melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Beliau turut menegaskan keadaan keselamatan di  Lahad Datu, Semporna dan Kunak adalah keadaan terkawal.

Mengenai kerjasama PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hamza berkata polis hanya menggunakan aspek teknikal ATM dalam operasi kawalan keselamatan itu.

- Bernama

ADS