Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerusi parlimen Gelang Patah 'sejuk', kata BN Johor

Bagi pembangkang di Johor, kerusi Parlimen Gelang Patah dianggap 'panas' dan memberi peluang besar kepadanya untuk menambah bilangan kerusi Parlimen di negeri kubu kuat BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun jentera BN tempatan menyifatkan pandangan luar kononnya Parlimen Gelang Patah sebagai 'panas' dan bakal memihak kepada pembangkang itu sebagai andaian yang tidak tepat dan tersasar.

Pengerusi BN Parlimen Gelang Patah Datuk Abdul Aziz Sapian berkata kerusi Parlimen majoriti pengundi Cina itu yang menjadi rebutan antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya 'sejuk', hasil kerja keras jentera BN selama ini.

"Jentera BN di Gelang Patah sebenarnya telah bekerja keras untuk menyejukkan keadaan di bawah. Kita telah meletakkan 'kipas angin' dan 'air-cond' bagi memastikan kerusi Parlimen Gelang Patah kekal biru di bawah BN.

"Kita mempunyai pelbagai strategi untuk memastikan keadaan yang 'panas' menjadi 'sejuk'," kata Abdul Aziz yang merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya dan Ketua Umno Bahagian Gelang Patah kepada Bernama baru-baru ini.

Bekas anggota komando itu mendedahkan kesemua 36 peti undi dalam Parlimen Gelang Patah menerima empat pusingan lawatannya sebelum ini, malah lawatan ke peti undi itu akan diperhebatkan lagi.

"Kita (BN Gelang Patah) mempunyai kajian terperinci dan data-data terkini mengenai pola pengundi untuk menegakkan keyakinan kami tentang peluang BN di Parlimen Gelang Patah," kata beliau.

Abdul Aziz bagaimanapun enggan mendedahkan data terkini yang diperoleh BN berkaitan sokongan pengundi bagi kerusi Parlimen Gelang Patah.

Pada pilihan raya umum 2008, BN menerusi calonnya Tan Ah Heng daripada MCA memastikan kerusi Parlimen Gelang Patah kekal biru apabila mengalahkan calon PKR SK Song dengan lebih 8,000 undi majoriti.

Parlimen Gelang Patah yang mempunyai lebih 100,000 pengundi terdiri daripada kerusi DUN Nusajaya yang diwakili Abdul Aziz dan DUN Skudai yang disandang Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.

Dalam pertembungan yang dianggap sebagai 'Battle of Giants' pada 2008, Pengerusi DAP Johor itu menewaskan Pengerusi Gerakan Johor Datuk Teo Kok Chee dengan majoriti lebih 12,000 undi.

Menjelangnya PRU-13, parti pembangkang bukan sahaja berkeyakinan untuk mengekalkan kerusi DUN Skudai, tetapi optimis untuk memenangi kerusi Parlimen Gelang Patah.

Keyakinan pembangkang terhadap Parlimen Gelang Patah yang mempunyai 54 peratus pengundi Cina menyebabkan berlakunya pertikaian serius antara DAP dan PKR tentang pihak yang berhak meletakkan calon bagi kerusi terbabit.

Dr Boo dan Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Chua Jui Meng, masing-masing mendakwa DAP dan PKR lebih berhak untuk meletakkan calon mereka dan memastikan kemenangan berpihak pada pembangkang di Gelang Patah kali ini.

Bagi Abdul Aziz, pengundi di Gelang Patah boleh membuat penilaian sendiri tentang parti mana yang benar-benar berjuang untuk kepentingan mereka dengan menjadikan DUN Skudai yang diwakili Dr Boo sejak 2008 sebagai kes contoh.

"Pengundi di DUN Skudai terutamanya daripada masyarakat Cina kini mempertikaikan wakil rakyat mereka (Dr Boo) yang hanya pandai bermain politik dan tidak mempedulikan kebajikan mereka," katanya.

Menurut Abdul Aziz, berdasarkan perkembangan terkini DAP berhadapan kemungkinan kehilangan DUN Skudai pada PRU-13.

Pemimpin DAP Johor itu katanya, hanya berminat dengan ideologi 'politik kuasa' dan gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat serta membangunkan Skudai yang terletak dalam kawasan Iskandar Malaysia.

Bagi Chua pula, katanya, semasa memegang jawatan Menteri Kesihatan, beliau telah gagal memberi perhatian untuk meningkatkan kemudahan kesihatan di Parlimen Gelang Patah dan ini adalah bukti jelas tentang sikap sebenarnya.

"Jika ketika mempunyai kuasa pun, beliau (Chua) gagal membangunkan Gelang Patah, apatah kini ketika dia tidak mempunyai kuasa dan berada di pihak pembangkang," kata Abdul Aziz.

Sementara itu pemerhati politik tempatan juga berkata perbalahan dalaman DAP Gelang Patah terutamanya antara Dr Boo dengan beberapa pemimpin cawangan parti berketurunan India akan turut menjejaskan sokongan masyarakat itu.

"Penyingkiran beberapa pemimpin cawangan DAP berketurunan India dijangka memberi kesan terhadap sokongan pengundi di kalangan masyarakat India terhadap DAP pada PRU-13 kali ini," katanya.

Bekas setiausaha publisiti DAP Cawangan Taman Nesa, Skudai A.K Murugan yang dipecat daripada DAP dilaporkan berkata Dr Boo gagal membantu masyarakat India tempatan dalam pelbagai perkara.

- Bernama

ADS