Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Foto lelaki dipenggal kepala 'gambar lama', kata ATM

Malaysia perlu mematuhi undang-undang antarabangsa terutama Konvensyen Geneva 1949 berhubung insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah, kata seorang pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.

Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM, Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim berkata Malaysia tidak boleh mencabuli undang-undang antarabangsa dengan mengambil tindakan sewenang-wenangnya terhadap soal pencerobohan.

Beliau berkata Malaysia tertakluk kepada perjanjian antarabangsa itu yang menetapkan tindakan terhadap pencerobohan perlu mengikut undang-undang.

"Kita tidak boleh terus bertindak tanpa mengetahui sebab sebenar kedatangan mereka (kumpulan bersenjata) dan tindakan kita mesti mengikut protokal yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan gagal menangani isu pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih awal sehingga menyebabkan pertumpahan berdarah.

Terdahulu, beliau merasmikan program persijilan asas kejuruteraan penerbangan untuk lesen DCAM Part-66, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCAM), bagi anggota tentera yang bakal bersara di Kota Bharu.

Setakat ini, lapan anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa tentera Kesultanan Sulu dari Filipina, di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna pada 1 dan 2 Mac.

Mengenai gambar lelaki dipenggal kepala tersiar dalam laman web kononnya dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata itu, Abdul Aziz berkata ia merupakan gambar lama yang dipercayai berlaku di sebuah negara jiran beberapa tahun lalu.

"Gambar itu ditulis dengan perkataan 'Lahad Datu' di bawahnya untuk mengambarkan peristiwa itu berlaku di Lahad Datu dan ini menampakkan niat jahat pihak tertentu terhadap kerajaan," katanya.

Beliau tidak menolak ia dilakukan untuk berseronok-seronok sahaja tetapi menegaskan bahawa implikasinya amat besar kepada negara dan tidak sepatutnya dilakukan oleh orang yang waras.

- Bernama

ADS