Penduduk terpaksa urus mayat penceroboh

Kira-kira 30 penduduk Kampung Simunul hari ini mengambil inisiatif mengangkat tiga mayat penceroboh dari kampung itu untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.

Ketua kampung, Ramli Saraman berkata tindakan mengangkat mayat itu dilakukan bagi mengelak bau busuk berterusan yang terpaksa dihadapi para penduduk sejak semalam.

Sabtu lepas, enam anggota pasukan keselamatan negara terkorban dalam insiden berbalas tembakan yang turut mengorbankan tiga penceroboh.

Dalam pada itu, Ramli turut menasihati penduduk di situ agar tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab kerana ia dapat mengeruhkan keadaan.

"Saya diberitahu penduduk, mereka mengatakan pihak penceroboh akan membalas dendam dengan membakar kampung ini (Kampung Simunul) jadi saya beritahu mereka jangan cepat percaya berita sebegitu, kerana saya sentiasa berhubung dengan pihak polis," katanya.

Ramli yang menjadi ketua kampung itu sejak tujuh tahun lepas, berkata tiada paksaan untuk penduduk kampung meninggalkan kediaman mereka, kerana ia merupakan hak individu.

Beliau optimis pasukan keselamatan negara mampu mengawal keadaan, dan menambah, keadaan kampung kembali tenang namun masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di bawah pengawasan polis.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.