JLKN jamin keselamatan pelatih di Tawau, Sandakan

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) hari ini memberi jaminan 790 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Shan Shui, Tawau dan Kem Bagai Budi Resort, Sandakan adalah selamat dan keadaan terkawal.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata pihaknya kini meningkatkan pemantauan di kedua-dua kem itu dengan kesemua program dan aktiviti luar dibatalkan.

"Ekoran pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna, JLKN menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa dan keluarga peserta yang risaukan keselamatan anak-anak mereka di kem berkenaan, justeru pihak JLKN ingin memaklumkan kesemua peserta berada dalam keadaan selamat.

"Seramai 12 komandan anggota tentera dan seorang anggota polis bertugas di etiap kem untuk memantau keadaan peserta," katanya kepada Bernama di ibu negara hari ini.

Kem Shan Shui dan Kem Bagan Budi Resort, masing-masing terletak kira-kira 150 dan 120 kilometer dari Lahad Datu.

Abdul Hadi berkata ibu bapa dan keluarga pelatih tidak perlu bimbang kerana pihak kem sentiasa berhubung dengan polis Tawau dan Sandakan bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden pencerobohan di Lahad Datu itu.

Katanya ibu bapa juga dibenarkan melawat anak masing-masing setiap hujung minggu seperti biasa dari 8 pagi hingga 5 petang.

Abdul Hadi berkata tempoh latihan pelatih Kumpulan Satu Siri 10 2013 di kedua-dua kem itu diteruskan seperti biasa dan tidak akan ditamatkan lebih awal.

"Pelatih akan menamatkan latihan sama seperti pelatih di kem-kem PLKN lain di seluruh negara iaitu pada tarikh 16 Mac ini," katanya.

Program PLKN Siro 10 dipercepat

Sementara itu, Hadi berkata program PLKN Kumpulan Dua Siri 10 yang djadual bermula dari 14 April ini diawalkan kepada 30 Mac.

Katanya, pindaan tarikh itu bagi membolehkan pelatih PLKN menamatkan latihan sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam, matrikulasi atau institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
   
"Ini akan memberi kemudahan kepada pelatih dan juga memberi penjimatan besar kepada kerajaan kerana pelatih ini tidak perlu menangguhkan PLKN untuk menyambung pengajian dan menyertai latihan ini kembali setelah tamat pengajian,"
 katanya kepada Bernama hari ini.
   
Sebelum ini, pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dibenar menangguhkan penyertaan PLKN dan hanya menyertai program itu selepas tamat pengajian.
   
Abdul Hadi berkata surat penyertaan PLKN telah dihantar kepada 43,000 pelatih terpilih dan berharap kesemua yang berkenaan membuat persediaan awal untuk menyertai program berkenaan.
   
"Manakala bagi mereka yang belum menerima surat berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) ke 15888 atau melayari laman sesawang di www.khidmatnegara.gov.my.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.