MKN salur makanan pada penduduk Kg Tanjung Labian

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyalurkan bantuan makanan kepada 26 keluarga dari Kampung Tanjung Labian yang kini tinggal di Dewan Serbaguna Embara Budi, susulan serangan ofensif pihak keselamatan negara ke atas pengganas Sulu di Kampung Tanduo di Lahad Datu.
    
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata MKN menjangkakan lebih ramai penduduk akan tinggal di dewan itu buat sementara waktu.
    
"Ada penduduk kampung tidak keluar rumah pada peringkat awal sudah keluar berjalan kaki meninggalkan rumah menuju ke dewan serbaguna itu," katanya dalam sidang media di Residental Felda Sahabat, Felda Sahabat 16 hari ini.
    
Terdahulu beliau meninjau keadaan penduduk di dewan serbaguna itu selepas melawat Kampung Tanjung Labian yang menurutnya semakin kosong dan rumah pula berkunci.
    
Katanya penduduk yang ditemui beliau memberitahu mereka meninggalkan rumah kerana bimbangkan keselamatan selepas mendengar bunyi letupan pagi tadi.

Mengulas isu lain, beliau mengingatkan pihak yang berkenaan agar berhenti menyebarkan khabar angin yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

"Khabar angin itu tidak patut dibuat disebabkan ada pihak seronok membuat cerita tetapi cerita direka itu mampu mengancam keselamatan," katanya.

"Dalam aspek lain patut kita bersatu padu memberi sokongan kepada pasukan keselamatan serta tindakan yang diambil kerajaan dan bukannya mencari salah," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.