Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Darul Quran naik taraf jadi Kolej Univerisiti Al-Quran

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menaik taraf institusi tahfiz, Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada Kolej Universiti Al-Quran.

Perdana Menteri berkata ia adalah antara lapan perkara sebagai langkah tambahan kerajaan untuk terus memperkukuhkan agenda memakmurkan negara dan mengislah ummah.

"Di Malaysia, sejak tahun 1966, kita amat beruntung kerana memiliki sebuah institusi tahfiz terulung iaitu Darul Quran Jakim untuk memberi peluang kepada anak-anak kita menghafaz serta mengkaji ilmu-ilmu Al-Quran secara sistematik," katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara dan Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil, di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya bagi tujuan memperkasakan pentadbiran Islam di negara ini, kerajaan sedang mengkaji untuk meningkatkan lagi peranan Jakim sebagai sebuah jabatan agama Islam negara.

Selain itu, katanya Skim Khairat Nasional Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) juga akan dilancarkan dengan peruntukan RM3.5 juta hingga RM9 juta setahun yang akan memberi manfaat kepada 170,000 keluarga yang didaftarkan di bawah e-Kasih dan pangkalan data di bawah Majlis Agama Islam di seluruh negara.

Najib berkata program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) akan diperkasakan dan program pendidikan agama seperti KAFA, J-QAF, program tahfiz dan sebagainya telah dilaksanakan.

Sehubungan itu, katanya kerajaan akan menyemak cadangan menaik taraf kedudukan guruKAFA dengan memberikan skim perjawatan yang lebih baik yang membabitkan seramai 32,618 orang.

Katanya Program Khas Haji Yayasan 1MDB akan diteruskan dan pada tahun ini jumlahnya akan ditingkatkan kepada 800 orang yang akan dibiayai di bawah program ini membabitkan para imam dan pengerusi JKKK.

Katanya bagi memperkasa institusi masjid dengan pendekatan ICT dan urus tadbir terbaik, kerajaan memperkenalkan Anugerah Masjid Malaysia kepada masjid-masjid terpilih dengan peruntukan sebanyak RM2 juta setiap tahun.

Katanya program ini dilaksanakan bersama Jakim, 1MDB dan sekretariat Ulama-Umara (UMUM) dan masjid-masjid akan dilengkapkan dengan peralatan ICT.

Najib turut mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menggunakan kaedah Autopsi Maya bagi menggantikan kaedah bedah siasat mayat sedia ada di hospital-hospital terpilih.

Katanya ini berikutan daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam Malaysia kali ke-73 yang bersidang pada 2006 telah memutuskan bahawa penggunaan kaedah tersebut dalam bedah siasat mayat jika memenuhi keperluan, wajib diberi keutamaan berbanding kaedah bedah siasat yang diamalkan sekarang.

Katanya selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan lagi hubungan jalinan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, kerajaan bersetuju melalui Jakim untuk memberi sumbangan sebanyak RM5 juta kepada NGO Islam bagi melaksanakan program masyarakat dan dakwah di negara ini.

-Bernama

ADS