UiTM tawar tempat untuk anak polis terkorban di Sabah

Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan memastikan anak-anak pegawai dan anggota polis yang terkorban semasa mempertahankan
kedaulatan negara di Sabah mendapat tempat sewwajarnya di UiTM, kata Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar hari ini.
    
Menurutnya, pada masa ini, empat anak-anak anggota yang terkorban telah dikenal pasti dan usaha mengesan sedang dilakukan bagi memastikan kemungkinan ada lagi anak-anak anggota yang berkelayakan diberi tempat di institusi pengajian tinggi itu.
    
UiTM amat menghargai jasa pahlawan yang gugur semasa mempertahankan tanah air dan anak-anak pahlawan itu akan diberi tempat yang sewajarnya di UiTM, katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau hari ini.
    
Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
    
Mengenai produk inovasi terbaru keluaran UiTM, beliau berkata, pihaknya akan mengkormersilkan produk inovasi yang dikenali sebagai "Gadam Siri 2 (GS2) yang dicipta bagi memudahkan para petani mengait buah mangga termasuk mempelam
 harumanis secara selamat.
    
Katanya, melalui sistem itu, buah yang dipetik tidak akan gugur ke tanah dan dapat mengelakkan kerosakan buah.
    
Peralatan GS2 itu telah dipersembahkan kepada Raja Perlis semasa majlis menghadap baginda dan turut disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.