Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rancangan usahasama India AirAsia dapat halangan kementerian

Kementerian Penerbangan India dikatakan menentang cadangan usahasama AirAsia bagi melancarkan satu syarikat penerbangan baru di India kerana peraturan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang baru hanya ditujukan kepada syarikat penerbangan sedia ada, demikian menurut laporan Press Trust of India.

    

Lembaga Penggalakan Pelaburan Asing (FIPB) dijangka mengemukakan cadangan usahasama AirAsia itu dengan Tatas dan Arun Bhatia pada satu mesyuarat hari ini.    

Menurut laporan itu, kementerian itu difahami telah melahirkan rasa keraguannya di dalam satu nota kepada FIPB, sambil menyatakan bahawa syarikat itu sepatutnya sudah dibentuk sebelum mendapatkan kelulusan kerajaan.

    

Tentangan kementerian itu diterima di tengah-tengah kemunculan laporan di dalam satu seksyen media bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berminat melancarkan syarikat penerbangannya di negara itu seawal

Mei-Jun, dan tidak mengikut perancangan awal sehingga akhir tahun ini.

    

Adalah difahamkan bahawa sehari selepas AirAsia mengumumkan usahasama 49:30:21 dengan Tatas dan Telestra Tradeplace yang dicadangkan oleh Arun Bhatia yang berpangkalan di Delhi pada lewat bulan lepas, Menteri Penerbangan Ajit Singh telah melahirkan rasa tidak senangnya, sambil menyatakan beliau lebih gemar jika Tatas memilih untuk melancarkan syarikat penerbangannya sendiri.

    

Sebelum itu, sumber kementerian berkata peraturan FDI membenarkan pelaburan sehingga 49 peratus oleh syarikat penerbangan asing di dalam syarikat penerbangan domestik, adalah bagi syarikat penerbangan sedia ada dan bukan bagi syarikat baru.

    

Pada hujung minggu, ketua Kumpulan Tata Ratan Tata, dikatakan telah menemui Singh bagi membincangkan mengenai rancangan usahasama itu. Kumpulan itu juga bertanggung jawab membawa masuk syarikat penerbangan pertama ke India pada Oktober 1938.

    

Di dalam perkembangan berkaitan, Tony Fernandes berkata beliau telah memilih calon ketua usahasama itu.

    

"Saya telah memilih Ketua Pegawai Eksekutif bagi AirAsia India. Seorang lelaki yang sangat pintar dari Selatan, Chennai, yang mempunyai latar belakang yang mengagumkan, yang akan mengagumkan semua pihak," kata Tony Fernandes dalam tweeternya, tanpa menamakan calon berkenaan.

- Bernama

ADS