Kes saman fitnah Zahid terhadap Rafizi 12 Jun

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 12 dan 13 Jun untuk perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan Menteri
Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli berhubung satu artikel di dalam laman blog.
    
Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong menetapkan tarikh tersebut dengan dihadiri peguam Latheefa Koya bagi pihak Mohd Rafizi dan Saseedharan Menon yang mewakili Ahmad Zahid.
    
Pada 25 Jan lalu Ahmad Zahid memfailkan saman tersebut dan mendakwa Mohd Rafizi (defendan) menerbitkan artikel fitnah itu di laman blog miliknya iaitu RafiziRamli dotcom.
    
Ahmad Zahid berkata artikel itu adalah tidak benar, palsu dan ditulis dengan niat jahat bagi memberi gambaran negatif berkenaan diri dan pekerjaannya untuk dibaca orang awam.
    
Ahmad Zahid menuntut gantirugi am dan khas, gantirugi teladan, penarikan penuh segala kata-kata fitnah serta meminta maaf dalam format yang diberikan Ahmad Zahid dan diiklankan dalam empat surat khabar tempatan, empat bahasa selama dua hari.
    
Beliau juga menuntut perintah supaya defendan mengeluarkan artikel tersebut daripada blog miliknya, perintah larangan daripada mengulangi atau menerbitkan semula termasuk di ceramah, perhimpunan dan kempen pilihan raya.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.