Khairy: Umum calon BN awal dapat 'rawat' sebarang masalah

Pergerakan Pemuda Umno hari ini mencadangkan agar Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum hari penamaan calon.
    
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata ini perlu supaya ada ruang dan masa bagi BN 'merawat' sebarang masalah yang mungkin timbul di peringkat bahagian atau dalam jentera kempen parti.
    
NONE"Dulu diumum sehari atau dua hari sebelum hari penamaan calon dan kita tiada masa untuk betulkan masalah di peringkat bahagian. Kali ini diharap pengumuman dibuat awal dan kita boleh rawat masalah mereka yang kecewa (kerana tidak menjadi calon)," katanya kepada pemberita.
    
Terdahulu, beliau mewakili Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan Bantuan Buku 1Malaysia di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di ibunegara.
    
Ditanya mengenai peruntukan kerusi bagi calon daripada Pemuda Umno, Khairy berkata terpulang kepada keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden parti kerana senarai nama telah diserahkan baru-baru ini.

Katanya apa yang penting calon itu adalah calon boleh menang, diterima rakyat dan seterusnya membantu BN mendapat kemenangan mutlak pada PRU ini.

"Sebagai contoh, 'no point' kita dapat 40 peratus calon muda tetapi tidak menang. 'Better' dapat 30 peratus tetapi boleh menang," katanya.

Menurutnya pengundi ingin melihat calon baharu atau calon muda yang berpendidikan dan digandingkan dengan calon lama yang berpengalaman sebagai wakil rakyat mereka.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.