Umno desak MB Kedah tubuh JK selesai isu KUIN

Umno Kedah mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan
masalah dalaman Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang didakwanya kini semakin kritikal.

Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Umno Kedah sedia membantu  dengan menghantar pakar dalam pendidikan tinggi untuk berkongsi idea jika Azizan mahu menubuhkan jawatankuasa itu yang harus disertai pakar bebas.
    
"Rakyat Kedah sayangkan KUIN kerana ia milik seluruh rakyat negeri ini. Bagi Umno kita juga sedih melihat apa yang berlaku kerana institusi itu ditubuhkan daripada perancangan dan pelaksanaan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini," katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.
    
Katanya Azizan selaku Pengerusi KUIN tidak harus menangguhkan usaha menangani kemelut institusi itu yang semakin rumit.
    
Pada masa yang sama Ahmad Bashah turut membidas Azizan kerana hanya mendengar dari sebelah pihak dan menggelar pihak yang lantang bersuara terutama warga kerja KUIN sebagai 'kumpulan jahat'.

"Azizan sepatutnya bersikap terbuka dalam menangani kemelut yang berlaku di KUIN," katanya.
    
Mengulas tindakan warga kerja KUIN mengadakan siri jelajah bagi menerangkan pelbagai isu berkaitan kolej berkenaan, Ahmad Bashah berkata itu hak mereka selepas suara hati mereka tidak didengari oleh pihak pengurusan kolej tersebut.
    
Sebelum ini, staf KUIN mendakwa kolej universiti milik kerajaan negeri Kedah itu tidak membayar potongan gaji mereka kepada agensi pihak ketiga seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, bank, insurans dan institusi kewangan lain sedangkan potongan dicatat dalam slip gaji mereka.
    
Mereka mendakwa akibat tindakan KUIN itu pembayaran tertunggak antara tiga dan enam bulan, sekali gus menyebabkan petugas terbabit menanggung beban seperti dikenakan caj lewat, menerima surat amaran dari peguam, surat amaran kereta ditarik dan polisi insurans ditamatkan.
    
Mereka turut mendakwa berlaku krisis kewangan yang serius dalam KUIN susulan penubuhan anak syarikat yang merugikan kolej universiti itu serta mendesak Rektor KUIN, Prof Datuk Dr Jamil Osman dan Azizan berundur daripada jawatan masing-masing.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.