Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang penduduk kampung Tanjung Batu melalui saat cemas apabila ditahan sekumpulan tujuh lelaki bersenjata semasa menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya.

    

Mujur, kumpulan lelaki yang merupakan penceroboh bersenjata itu hanya meminta rokok, kata Abdul Rahman Seilani, 53.

    

Menceritakan detik cemas yang dilalui Isnin lepas, Abdul Rahman berkata beliau terserempak dengan sekumpulan kira-kira tujuh lelaki bersenjata dan berpakaian celoreng di jalan raya di kampung itu, kira-kira pukul 9 pagi.

    

"Ketika saya lalu di depan mereka, seorang daripada mereka meminta rokok dari saya dalam bahasa Melayu.

    

"Saya kemudian memberikan mereka sekotak rokok yang saya ada dan mereka memberikan wang RM50 tetapi saya tidak mengambilnya," katanya ketika ditemui Dewan Fajar Harapan di Felda Sahabat kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu hari ini.

Bimbang dengan keselamatan dirinya, Abdul Rahman mengambil keputusan untuk segera meninggalkan kampung menerusi pesisir pantai untuk ke Kampung Tanjung Labian yang terletak bersebelahan kampungnya.

    

"Saya kini tinggal bersama anak di kuarters pekerja Felda di Fajar Harapan," katanya.

    

Dewan Felda Harapan di Felda Sahabat itu menempatkan penduduk dari tujuh kampung yang berpindah berikutan tindakan pasukan keselamatan menggempur

 

kedudukan pengganas di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.

    

Selasa lepas, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lepas.

    

Ini diikuti gerakan susulan dan penggeledahan rumah ke rumah yang bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di Kampung Tanduo, di sini bagi memburu kumpulan pengganas itu.

Seorang lagi penduduk, Yusof Sarang, 58, berkata kira-kira 40 penduduk kampung meredah air pasang hingga paras lutut untuk ke Tanjung Labian melalui pantai sebelum ke Dewan Fajar Harapan.

    

Beliau mengambil keputusan membawa isteri dan tiga anak mereka berpindah dengan segera apabila mendengar berita mengenai kehadiran individu bersenjata di kampung itu.

    

"Kami hanya membawa sedikit pakaian dan kini menumpang di rumah anak saudara di Fajar Harapan," katanya.

- Bernama

ADS