Insiden Sauk dan Lahad Datu tak boleh disamakan - Zaini

Pencerobohan militan Filipina di Lahad Datu, Sabah tidak boleh disamakan dengan insiden berdarah kumpulan pemberontak Al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk, Perak, pada Julai 2000, kata bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said.
    
Beliau berkata militan Al-Maunah mengisyitharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong manakala militan Filipina yang mendakwa sebagai Tentera Kesultanan Sulu datang untuk menuntut negeri Sabah.
    
Zaini, yang terbabit dalam operasi menumpaskan kumpulan Al-Maunah, berkata situasi dan motif kedua-dua kumpulan militan adalah berbeza yang mana anggota Al-Maunah adalah rakyat tempatan manakala militan Filipina adalah warga asing.
    
Militan Al-Maunah bercadang menjatuhkan kerajaan Malaysia melalui huru-hara manakala kumpulan bersenjata Filipina di Sabah menceroboh dengan menggunakan tindakan kekerasan, katanya kepada pemberita di ibunegara semalam.
    
Zaini berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai kenyataan bekas Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein yang mendakwa pihak keselamatan mengambil masa empat hari sahaja dalam menumpas kumpulan Al-Ma'unah berbanding dengan kejadian pencerobohan di Lahad Datu.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula mempertahankan tindakan pasukan keselamatan negara dalam menangani krisis pencerobohan di Sabah dan menyifatkan tindakan yang diambil adalah tepat dan wajar.
    
Beliau berkata kerajaan tidak bertindak secara terburu-buru malah telah mengambil pendekatan mengelak pertumpahan berdarah menerusi usaha rundingan dengan kumpulan penceroboh bersenjata bagi mencapai penyelesaian secara aman.
    
Bagaimanapun, beliau berkata kumpulan militan dari selatan Filipina itu memilih untuk mencetuskan pertempuran sehingga mengorbankan lapan anggota keselamatan negara.
    
Musa juga menyeru semua pihak ternmasuk ahli politik supaya memberi sokongan kepada pasukan keselamatan negara yang menjaga kententeraman dan membanteras kumpulan penceroboh di Sabah.
    
"Saya harap jangan keluarkan kenyataan atau komen negatif yang boleh menjatuhkan semangat anggota pasukan keselamatan negara," katanya sambil meminta rakyat yakin dengan kemampuan pasukan keselamatan negara.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh Ismail, yang turut bersetuju dengan Musa, berkata rakyat tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan pasukan keselamatan untuk melindungi kedaulatan negara.
    
"Kita sebagai rakyat sebuah negara perlu menunjukkan semangat bersatu padu dan sokong pasukan keselamatan. Ini satu ujian kepada rakyat untuk membuktikan semangat cintakan negara," katanya.
    
Mohd Salleh juga melahirkan keyakinan bahawa pasukan keselamatan negara dapat menangani insiden pencerobohan itu berdasarkan pengalaman dan kejayaan menumpaskan komunis pada satu masa dahulu.

Sementara itu, suasana ketenteraman awam di sekitar pekan Lahad Datu dan Semporna semakin pulih  semalam dengan trafik mulai sibuk dan premis perniagaan beroperasi seperti biasa.
   
Sekatan polis dan rondaan pasukan keselamatan di kedua-dua kawasan ini bagaimanapun masih diteruskan dan orang ramai sudah mula yakin dengan keadaan yang semakin terkawal.
   
Di Lahad Datu, walaupun premis perniagaan ditutup awal pada 7 petang, namun pengusaha kedai makan terus membuka perniagaan mereka sehingga ke tengah malam.
   
Tiga buah sekolah di daerah Lahad Datu yang ditutup sejak 1 Mac turut dibuka semua hari ini selepas polis mengesahkan keadaan di daerah ini selamat dan terkawal.
   
Lapan sekolah lain bagaimanapun masih ditutup dan sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Lok Buani, SK Fajar Harapan, SK Tanjung Labian, SK Sahabat 16, SK Sahabat 4, SK Cenderawasih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana.

Bagaimanapun penduduk di Kampung Tanduo, Tanjung Labian, Tanjung Batu, Tanagian dan Sungai Bilis masih belum dibenarkan pulang dan masih 'berkampung' di Dewan Embara Budi dan Dewan Fajar Harapan, Lahad Datu.
   
Sambil mengharapkan pasukan keselamatan dapat menghapuskan saki-baki kumpulan itu dalam masa terdekat, Ketua Masyarakat Kampung Tanjung Labian Assaffal Alian, 48, berkata ada penduduk masih trauma dengan kejadian pencerobohan itu.
   
"Namun kawalan yang ketat 24 jam yang dilaksanakan polis, tentera serta JPAM (Jabatan Pertahanan Awam) sedikit sebanyak meredakan ketakutan yang dialami mereka.
   
Sejak isu pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu 12 Februari lepas, lapan anggota polis terkorban manakala 52 pengganas dilaporkan terbunuh.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.