ALSO BY

Saya ditelanjang, kemaluan saya dirakam jurugambar: Azmin

Seorang saksi dalam perbicaraan ke liwat bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu mahkamah beliau telah ditelanjangkan, gambar kemaluannya dirakam dan juga dipaksa mereka-rekakan bukti salah laku seks terhadap Anwar apabila beliau ditahan polis pada September 1998.

"Mereka (polis) menelanjangkan saya dan memaksa mengaku bahawa saya telah diliwat oleh Anwar. Mereka juga memaksa saya mengaku bahawa Datuk Dr. Harun Din seorang kaki perempuan," kata bekas setiausaha sulit Anwar, Mohd Azmin Ali.

Beliau berkata dua hari kemudian, polis mengambil gambar kemaluannya di Ibupejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman.

"ASP Rodwan datang bersama-sama seorang jurugambar untuk mengambil gambar bahagian hadapan dan belakang kemaluan saya," kata Azmin.

Menjawab pertanyaan dari peguam Christopher Fernando, Azmin berkata adiknya, Ummi Halfida ialah seorang yang "suka menipu, tidak boleh dipercayai dan anak yang sanggup mengkianati ibu bapa sendiri."

Jumaat lalu, Azmin memberitahu Hakim Ariffin Jaka bahawa Ummi tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibubapa mereka kerana melarikan diri ke luar negara bersama suami orang.

"Ummi suka mendekati orang-orang ternama dan dia akan cuba mengaut kekayaan dengan apa cara sekalipun," beritahu Azmin kepada mahkamah.

Azmin turut memberitahu mahkamah isterinya, Shamsidar Tahrin tidak pernah mengadakan hubungan sulit dengan bekas ketuanya, Anwar.

"Saya percaya dan yakin pada isteri saya. Beliau mempunyai latarbelakang yang baik dan berpegang kepada ajaran agama dan tidak akan melakukan perkara-perkara (yang dituduh dalam surat) seperti itu," kata beliau.

Perbicaraan kes liwat itu bersambung esok.