Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Tinggi Kuantan bicara saman Lynas pada SMSL

Perbicaraan saman fitnah yang difailkan Lynas Corporation Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd terhadap kumpulan Anti-Lynas 'Save Malaysia, Stop Lynas' (SMSL) kekal di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Ia berikutan keputusan panel hakim tiga anggota Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang menolak rayuan syarikat itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kes itu dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Tinggi Kuantan.

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, yang mengetuai panel itu berkata mahkamah sebulat suara bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa Mahkamah Tinggi Kuantan lebih sesuai berdasarkan alamat defendan dalam saman sivil itu dan kedudukan tapak kilang di Kuantan.

Beliau mengarahkan Lynas Corporation dan Lynas Malaysia membayar kos RM20,000 kepada SMSL.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Pada 26 September tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk John Louis O'Hara membenarkan permohonan SMSL untuk memindahkan saman itu ke Mahkamah Tinggi Kuantan untuk dibicarakan.

Pada 19 April tahun lepas, Lynas Corporation of Sydney, Australia dan Lynas Malaysia menyaman SMSL Sdn Bhd, dua pengarahnya, Tan Bun Teet dan Lim Sow Teow serta tiga sukarelawan iaitu Hang Chong Leung, Lee Chow Fong dan Ismail Abu Bakar, berhubung satu artikel memfitnah yang disiarkan blog kumpulan itu pada 22 Mac tahun lepas.

Lynas memohon perintah injunksi memerintahkan SMSL dan lima yang lain membuang artikel bertajuk 'Civil Society Organisations Joint Statement on Lynas Issue: SMSL Malaysian NGO Statement Against Lynas' daripada blognya sehingga saman itu dilupuskan.

Pada 26 Julai tahun lepas, O'Hara menolak permohonan Lynas untuk mendapatkan perintah injunksi dan memutuskan bahawa pada peringkat ini, mahkamah tidak boleh erumuskan sama ada artikel itu bersifat memfitnah atau sebaliknya, sehingga mendengar keterangan pada perbicaraan penuh kes itu.

Terdahulu pada prosiding hari ini, panel itu mendengar hujahan daripada peguam Tan Sri Cecil Abraham, mewakili kedua-dua syarikat berkenaan dan peguam Datuk Bastian Vendargon, mewakili SMSL.

Abraham berhujah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lebih sesuai mendengar kes itu kerana isu dalam kes itu tertakluk kepada bukti saksi pakar dari Kuala Lumpur dan luar negara.

Vendargon, bagaimanapun berhujah mahkamah yang lebih sesuai untuk mendengar kes itu ialah Mahkamah Tinggi Kuantan kerana defendan tinggal di situ dan banyak saksi yang dipanggil kemungkinan dari kawasan itu.

-Bernama

ADS