Najib: 80,000 lagi rumah mampu milik akan dibina

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembinaan 80,000 unit Rumah Mampu Milik untuk golongan berpendapatan sederhana di Lembah Klang dan Wilayah Persekutuan.

Najib berkata daripada jumlah itu, 50,000 unit rumah akan dibina di Lembah Klang menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), manakala baki 30,000 unit lagi bakal dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di seluruh Wilayah Persekutuan.

"Ini bererti 80,000 unit kesemuanya yang akan dilaksanakan di bawah identiti rumah mampu milik," katanya ketika berucap melancarkan PR1MA Alam Damai Cheras di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri memberi jaminan harga bagi setiap unit rumah yang ditawarkan di bawah projek tersebut adalah dalam lingkungan yang mampu dibeli oleh kumpulan sasar iaitu mereka yang mempunyai pendapatan antara RM2,500 hingga RM7,000 sebulan.

"Program untuk kategori sederhana ini perlu kerana mereka biasanya terlepas daripada program kerajaan sebelum ini...untuk golongan miskin kita ada program seperti Rumah Rakyat dan kita juga ada program untuk mereka yang tinggal di luar bandar," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedar bahawa setiap keluarga di Malaysia ingin memiliki kediaman sendiri namun kadang kala hasrat itu dibatasi oleh kemampuan kewangan.

"Impian untuk memiliki rumah ini bukan sesuatu yang tidak realistik atau tidak wajar, malah ia merupakan satu hak rakyat yang mesti dipenuhi di bumi Malaysia yang bertuah ini," katanya.

Najib berkata menyedari akan hakikat itu maka kerajaan telah sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk memenuhi impian setiap rakyat termasuk dengan menubuhkan PR1MA yang bertanggungjawab melaksanakan program Rumah Mampu Milik.

"Bila kita kaji perkara ini secara mendalam kita dapati mereka ingin memiliki rumah dan rumah itu mestilah dalam kategori mampu dimiliki oleh mereka.

"Jika terpaksa bayar ansuran bulanan terlalu tinggi meskipun jika pendapatan besar secara relatif tapi akan hadapi kesempitan daripada segi kewangan pada setiap bulan terutama hujung bulan," katanya.

Najib berkata soal beban kos hidup tidak hanya dihadapi oleh golongan miskin atau berpendapatan rendah, malah ia turut dialami oleh mereka yang berpendapatan pertengahan lebih-lebih jika hidup di bandar.

"Mereka yang menerima pendapatan RM5,000 mungkin hingga RM10,000 pun pada tiap hujung bulan akan hadapi apa yang kita sifatkan 'financially stress' (tekanan kewangan).

"Dalam erti kata lain mereka ini tidak mendapat kelebihan untuk hidup selesa pada setiap hujung bulan," katanya.

Perdana Menteri menarik perhatian apabila berkata rakyat tidak seharusnya melihat pelaksanaan projek perumahan terutama oleh PR1MA sebagai projek untuk memiliki rumah semata-mata, sebaliknya ia boleh dianggap sebagai 'wealth creation programme' atau 'program pewujudan kekayaan'.

"Jarang ada projek seperti ini. Kalau kita beli kereta hari ini esok akan susut nilai, tapi jika kita dapat rumah PR1MA hari ini esok kita bakal untung 20 hingga 30 peratus...sebab itulah projek ini dapat sambutan yang cukup hangat," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.