Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis periksa lokasi sembunyi senjata di Kpg Panji

Sepasukan polis hari ini memeriksa kawasan Tanah Perkuburan Kampung Panji di Semporna dipercayai tempat simpanan senjatapi kumpulan pengganas yang menyerang Kampung Simunul pada 2 Mac lepas.

    

Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata pemeriksaan pada 6.30 pagi itu dijalankan selepas menerima maklumat awam sejak beberapa hari lepas.

    

"Hasil pemeriksaan kita, polis tidak menemui sebarang senjata api. Saya harap penduduk tidak panik, kerana ia merupakan pemeriksaan biasa," katanya ketika dihubungi.

    

Beliau berkata pemeriksaan yang dijalankan kira-kira 100 anggota polis dari unit VAT 69, Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am dan dibantu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna juga bertujuan mengumpul bukti terhadap kegiatan pengganas sejak beberapa minggu lepas.  

    

Sementara itu, seorang penduduk Jurikun Borneo, 54, berkata ketika beliau sedang membuka kedai runcitnya pada 6.30 pagi beliau melihat sepasukan polis sedang memeriksa tanah perkuburan dengan menggunakan beberapa alat pengesan senjata.

    

"Saya nampak sekejap sahaja, tapi ramai anggota polis memeriksa tanah perkuburan itu," katanya.

    

Sementara itu, di Lahad Datu, dua helikopter pelbagai guna milik Tentera Darat, Agusta Westland AW109 tiba di padang markas  Operasi Daulat di Felda Sahabat 16, hari ini.

    

Helikopter jenis peninjau dan pengangkut menggunakan enjin berkembar serta mampu memuatkan lapan penumpang itu diperlukan bagi mengukuhkan lagi kekuatan pasukan keselamatan dalam usaha menggempur pengganas sejak pencerobohan dikesan 12 Februari lepas.

    

Ia susulan pengumuman Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, semalam bahawa kekuatan dari segi aset dan anggota Operasi Daulat perlu ditambah untuk terus menggempur penceroboh militan khususnya di Kampung Tanjung Batu dan Sungai Nyamuk.

    

Zulkifeli berkata langkah menguatkan pertahanan dan kawalan itu bertujuan menutup terus laluan kepada musuh daripada menceroboh ke negara ini sama ada di laut atau di darat.

    

Selain helikopter itu, 12 kereta perisai berantai jenis Adnan dan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia juga dijangka tiba secara berperingkat.

    

Sejak pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 56 musuh, manakala lapan anggota polis dan dua tentera gugur di pihak Malaysia.

- Bernama

ADS