Muhyiddin: Masa depan anak muda cerah

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak golongan muda supaya berganding bahu dengan kerajaan bagi membantu usaha negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata adalah amat penting untuk melibatkan golongan muda dalam pembangunan negara selaras dengan usaha berdiri sebaris dengan negara maju di dunia.

Menurutnya masa depan anak muda di negara ini amat cerah kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk golongan itu memajukan diri serta membina kehidupan yang lebih terjamin.

Beliau berkata demikian di majlis Himpunan Anak Muda Parlimen Pagoh dan Kelab Sukan Bermotosikal Pemuda Pagoh di Kundang Ulu, di Muar, yang dihadiri oleh lebih 20,000 anak muda serta penduduk kawasan sekitar.

Majlis itu turut dihadiri isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jorak Datuk Dr Sharuddin Md Salleh dan ADUN Bukit Serampang Datuk Tahir Taat.

Muhyiddin berkata masa depan anak muda akan terus terjamin selagi kerajaan BN memegang tampuk pemerintahan negara.

"Apabila sampai pilihan raya nanti, anak muda akan jadi penentukan masa depan, mereka tidak ada pilihan selain menyokong BN sebab kerajaan sudah mempunyai persiapan cukup rapi untuk golongan ini," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.