'Cicak pun takut, bagaimana mahu bunuh orang?'

Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengambil peluang dalam buku biografinya untuk menjelaskan bahawa beliau tidak berada di tempat pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada malam 19 Oktober 2006.

Rosmah berkata beliau juga tidak berani untuk berada di tempat yang didakwa sebagai lokasi pembunuhan berkenaan di Mukim Bukit Raja, Shah Alam.

NONE"Bagaimana saya mahu membunuh orang sedangkan cicak jatuh di depan mata pun saya melompat lari. Saya juga takut gelap. Apa lagi saya nak mendaki bukit di tempat yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan. Tidak ada upaya saya berbuat begitu," katanya.

Tambahnya, beliau pada malam itu berada di satu majlis berbuka puasa di bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur bersama seorang pegawai polis, Leftenan Kolonel Norhayati Hassan yang dipercayai seorang pegawainya.

"Saya berada di situ mulai lewat petang hingga tengah malam kerana berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan terawih serta moreh di situ. Ramai saksi di situ," katanya lagi dalam tulisan berbentuk soal jawab itu.

rosmah mansor biography book launch event 190313 13Isu berkenaan timbul ekoran dakwaan penulis blog Raja Petra Kamarudin dalam satu akuan berkanun bahawa beliau menerima maklumat daripada beberapa individu kononnya Rosmah berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh.

Raja Petra membuat pengakuan bertarikh 18 Jun 2008 itu ketika perhatian tertumpu kepada kemungkinan berlaku perubahan dalam kerajaan pada 16 Sept 2008.

Dalam satu wawancara yang disiarkan TV3, sejurus sebelum pilihan raya DUN Sarawak pada April 2011, Raja Petra kemudiannya menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menuduh perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga isteri terbabit dalam kes pembunuhan Altantuya.

Raja Petra mendakwa, beliau didesak dan dipengaruhi untuk berbuat demikian oleh beberapa individu yang tidak mahu Najib mengambil-alih sebagai Perdana Menteri.

Najib mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri pada April 2009.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.