Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes 'Rambo Bentong' dipenjara 115 tahun dipindah
Diterbitkan:  Mar 20, 2013 3:45 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Kes 'Rambo Bentong' dipenjara 115 tahun dipindah

Mahkamah Majistret Bentong hari ini membenarkan kes terhadap seorang lelaki yang didakwa membunuh seorang gadis, yang sebelum ini dijatuhi hukuman 115 tahun dan 50 sebatan atas kesalahan merogol dan seks luar tabii, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh.

Majistret Mohd Isa Md Nor membuat keputusan itu selepas kes itu disebut semula hari ini.

Rabidin Satir, 42, dituduh membunuh Annie Kok Yin Chen, 17, pada 12 Disember tahun lepas di Lot 4168 Kampung Ketari di sini antara 11.30 malam, 7 Mac 2009 dan 1.50 petang, 8 Mac 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir.

Rabidin yang berasal dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu merogol sehingga menyebabkan kematian mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(4) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan minimum 10 kali.

Pada 5 Februari lepas, Rabidin yang dikenali sebagai 'Rambo Bentong' dihukum penjara 115 tahun dan 50 sebatan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Raub terhadap empat tuduhan rogol dan satu tuduhan melakukan seks luar tabii.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu terhadapnya dengan setiap kesalahan rogol dikenakan hukuman penjara 25 tahun dan sebatan 10 kali sementara bagi kesalahan meliwat, tertuduh dihukum penjara 15 tahun dan sebatan 10 kali.

Kesemua hukuman itu diperintah berjalan berturut-turut mulai tarikh dia ditangkap pada 14 Nov lepas.

- Bernama

ADS