ASNB umum agihan pendapatan lebih tinggi dana ASG

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan lebih tinggi bagi kesemua tiga dana dalam Amanah Saham Gemilang (ASG) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2013.

Pemegang unit ASG-Pendidikan akan menerima agihan pendapatan 7.10 sen seunit, meningkat daripada 7.0 sen seunit pada tahun lepas, manakala pengagihan bagi ASG-Kesihatan ialah 7.20 sen seunit berbanding 7.10 sen pada 2012 dan bagi ASG-Persaraan, 7.30 sen berbanding 7.05 sen pada tahun sebelumnya.

ASG-Pendidikan diperuntukkan sejumlah RM5.25 juta bagi pengagihan pendapatan tahun ini berbanding RM3.64 juta tahun lepas, kata Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid hari ini.

Pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 21,460 pemegang unit ASG-Pendidikan yang melanggan 73.969 juta unit tabung berkenaan, katanya ketika mengumumkan pengagihan pendapatan itu di Kuala Lumpur.

Sehingga 19 Mac, ASG-Pendidikan merekodkan pendapatan kasar RM5.72 juta, disumbangkan oleh keuntungan penjualan saham dalam syarikat-syarikat (RM3.20juta), pendapatan dividen (RM1.60 juta) dan pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek (RM920,000).

Bagi ASG-Kesihatan, ASNB memperuntukkan sejumlah RM6.50 juta bagi agihan pendapatan tahun ini berbanding RM4.57 juta tahun lepas.

Pengagihan pendapatan itu akan memberi manfaat kepada 14,472 pemegang unit yang melanggan 90.316 juta unit tabung berkenaan, kata PNB.

Sehingga 19 Mac, 2008, ASG-Kesihatan merekodkan pendapatan kasar RM7.49 juta, disumbangkan oleh penjualan saham dalam syarikat-syarikat (RM4.25 juta), pendapatan dividen (RM2.25 juta) dan pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek (RM990,000).

Bagi ASG-Persaraan, ASNB menyediakan pembayaran berjumlah RM1.66 juta bagi agihan pendapatan tahun ini berbanding RM1.49 juta tahun lepas.

Pembayaran itu memberi manfaat kepada 3,393 pemegang unit ASG-Persaraan yang melanggan 22.801 juta unit tabung ini.

Sehingga 19 Mac, ASG-Persaraan mencatatkan pendapatan kasar RM2.18 juta, disumbangkan oleh penjualan saham dalam syarikat-syarikat (RM960,000), pendapatan dividen (RM870,000) dan pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek (RM350,000).

Ketiga-tiga unit amanah dalam ASG adalah "dana pertumbuhan dan pendapatan" dengan objektif dan pembahagian aset berbeza bagi setiap tabung.

ASG adalah dana harga berubah-ubah dan setiap pelabur dibenarkan untuk melanggan unit-unit dalam ketiga-tiga tabung ini tanpa had.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.