50,000 kekosongan SPA dijangka diisi tahun ini

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangkakan lebih 50,000 kekosongan jawatan perkhidmatan awam akan diisi sepanjang tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Mahmood Adam berkata ini berikutan terdapat kumpulan penjawat awam yang berkhidmat sehingga umur 60 tahun akan bersara tahun ini.

kdn mahmood adam on nanyang 301211 02"Tahun lepas pengambilan penjawat awam kira-kira 50,000, jadi, tahun ini saya percaya pengambilan akan lebih 50,000 kerana kebanyakan mereka yang dilanjutkan perkhidmatan sehingga 60 tahun akan pencen tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi interaksi SPA bersama Ketua Jabatan Persekutuan, Badan Berkanun, Persatuan dan Badan Bukan Kerajaan serta Karnival Kerjaya SPA di Kluang hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mahmood menggesa lulusan Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian yang berminat untuk memasuki perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) supaya mengisi permohonan segera untuk menduduki peperiksaan pengambilan yang akan diadakan 13 April depan.

Beliau berkata sehingga kini lebih 70,000 pemohon sudah berdaftar untuk menduduki peperiksaan terbabit dengan mereka yang berminat perlu berdaftar di laman http://www.spa.gov.my.

Mengenai sesi interaksi yang dilakukan hari ini, Mahmood berkata ini merupakan kali pertama SPA turut menjemput beberapa persatuan yang mewakili masyarakat termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa, Persatuan Bekas Tentera, Usahanita dan Persatuan Imam Daerah Kluang.

"Sesi di Kluang hari ini merupakan jelajah kali ke-15 yang dilakukan SPA sejak Jun tahun lepas di seluruh negara. Ia bertujuan mendapatkan pelbagai maklum balas terhadap perkhidmatan yang ditawarkan SPA terutama pelaksanaan urusan pengambilan, perkhidmatan, naik pangkat dan tatatertib," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.