Bukit Aman ketuai siasatan kes militan di Lahad Datu

Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini mengetuai siasatan insiden pencerobohan militan di Lahad Datu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata pasukan itu kini sedang mengumpul bukti di lokasi kejadian untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan kami menyeluruh dan melihat daripada semua aspek termasuk bagaimana kumpulan pengganas memperoleh senjata dan mendapat bantuan.

"Kami bukan hanya tertumpu di Lahad Datu dan Semporna bahkan lebih meluas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata cabaran dalam penyiasatan ialah untuk mendapatkan bahan bukti memandangkan mayat pengganas ketika ini sudah mula mereput.

Pada 12 Feb lepas, sekumpulan militan dari selatan Filipina menceroboh persisir pantai Lahad Datu dan sejak pencerobohan itu, pasukan keselamatan menembak mati 62 pengganas.  

Sementara itu, Mohd Bakri berkata polis kini mengkaji keperluan pertambahan pegawai penyiasat di enam balai polis Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM) yang meliputi 1,400 kilometer kawasan pantai timur Sabah.     

Pertambahan pegawai penyiasat itu perlu berikutan keluasan kawasan ESSCOM iaitu dari Kudat hingga Tawau, katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah yang melibatkan lima daerah iaitu Sandakan, Tawau, Kunak, Kudat dan Lahad Datu.

Kawasan ESSCOM itu akan menempatkan enam balai polis.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.