MP kata laporan NST 'menyeleweng, berniat jahat'

MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menuntut New Straits Times memohon maaf atas satu laporan akhbar itu yang didakwa menyeleweng ucapannya dalam satu ceramah di Negeri Sembilan pada hari Selasa lalu.

Akhbar berkenaan melaporkan ucapan itu dengan tajuk "Nurul Izzah hits out at police (Nurul Izzah selar polis", yang menurutnya "berniat jahat" dan "menyeleweng" daripada yang yang diucapkannya.

Beliau juga mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar tersebut, kata Nurul Izzah lagi dalam kenyataannya.

"Saya menuntut New Straits Times memohon maaf dalam masa 24 jam melalui media digital dan cetak sebagaimana rencana berbaur fitnah itu telah disebarkan," katanya.

Dalam laporan itu, akhbar berkenaan antara lainnya mendakwa, Nurul Izzah menyatakan bahawa fungsi utama polis adalah untuk membuat intipan ke atas rakyat Malaysia.

Pasukan keselamatan juga membuat pengintipan ke atas pemimpin PKR dan memastikan kemenangan BN sedangkan sempadan Malaysia di Lahad Datu disusupi penceroboh.

"Bayangkan, 200 pengganas berjaya menyusup ke negara ini dan apa tindak balas Menteri Dalam Negeri? Tindak balasnya adalah memberi mereka minuman, kuih muih dan menunggu 23 hari sebelum menyerang," katanya Nurul Izzah seperti dipetik akhbar tersebut.

Dalam kenyataannya hari ini, Nurul Izzah menafikan bahawa beliau bermaksud untuk menyelar pasukan keselamatan.

"Saya tidak pernah sekali-kali memperlekeh usaha anggota-anggota keselamatan yang berkorban dan memenuhi ikrar taat setia yang telah dilafazkan.

"Saya menegaskan bahawa isu yang diketengahkan adalah tindakan ahli-ahli politik di Putrajaya dalam menangani masalah keselamatan di Lahad Datu," katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga sependapat dengan bekas pegawai tinggi tentera Lt Gen (B) Datuk Abd Ghafir yang berkata Ops Daulat terus berlanjutan kerana ketiadaan risikan taktikal lengkap oleh pasukan pertahanan.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.