Ragu sekatan boleh minta kad kuasa polis

Kedutaan asing di negara ini menghargai usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kes jenayah yang melibatkan warga negara mereka, dan turut mengiktiraf polis Malaysia pasukan terbaik dalam menangani kes jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pengiktirafan itu diberi atas usaha PDRM menangani beberapa kes seperti samun, culik dan rogol yang melibatkan warga mereka.

"Baru-baru ini kita ada selesaikan kes pelancong asing warga Jepun yang diculik. Mereka menghantar surat penghargaan kepada PDRM. Jadi kita mendapat pengiktirafan. Cuma kita tidak uar-uarkan sahaja," katanya kepada pemberita pada wawancara khas sempena Hari Polis ke-206 di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada 12 Mac lepas, seorang jurutera warga Jepun diculik sekumpulan warga asing bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah US$50,000 (RM156,000) dan telah diselamatkan polis.

Mohd Bakri berkata PDRM turut menerima surat penghargaan daripada Kedutaan Netherlands yang menyatakan PDRM membantu mereka secara professional untuk menyelesaikan kes jenayah melibatkan warga negara itu.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan mengenai kes terbabit.

Mengenai rondaan dan sekatan jalan raya yang sering diadakan oleh polis, Mohd Bakri berkata orang ramai perlu memahami tanggungjawab yang perlu dijalankan PDRM.

Setiap sekatan jalan raya yang dibuat bertujuan memburu penjenayah atau mengesan rompakan di samping mengurangkan kadar jenayah, katanya.

"Sekatan jalan raya akan membantu polis membuat siasatan dan mengesan penjenayah yang sedang diburu atau dikehendaki polis," katanya.

Mohd Bakri berkata oleh itu, semua pihak perlu membantu PDRM, dan tidak menganggap rondaan dan sekatan jalan raya itu sebagai menyusahkan dan membebankan orang ramai.

Bagi mereka yang meragui bahawa sekatan jalan raya itu dilakukan oleh PDRM, mereka boleh meminta kad kuasa polis sebagai pengesahan dan bukti bahawa polis yang menjalankan tugas itu, katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.