Cabaran jenayah kini libatkan ancaman luar

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang meningkatkan usaha bagi memperkasakan penyiasatan jabatan itu memandangkan cabaran jenayah kini melibatkan ancaman pencerobohan pengganas.

Dalam usaha itu, pegawai penyiasat dihantar mengikuti kursus di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Kanada untuk menimba pengalaman bagi memastikan jabatan itu setaraf polis antarabangsa dalam aspek penyiasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin yang optimis dalam memastikan aspek penyiasatan diperkukuh, berkata pihaknya kini bukan sahaja menumpukan perhatian terhadap jenayah harian bahkan ancaman jenayah dari luar.

"Kalau kita lihat keadaan sekarang, siasatan kita lebih menjurus kepada penyiasatan kes lebih besar melibatkan keselamatan negara seperti insiden pencerobohan militan di Lahad Datu, Sabah yang mengorbankan 10 anggota keselamatan.

"Kita mainkan peranan penting dalam buat penyiasatan dari sudut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan memegang tanggungjawab yang besar kerana mengetuai aspek siasatan bagi insiden tersebut," katanya kepada pemberita pada wawancara khas sempena Hari Polis ke-206 di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mohd Bakri berkata siasatan perlu dijalankan secara teliti terutamanya dalam pengumpulan bahan bukti sebelum dikemukakan kepada pihak pengadilan dan memastikan ia diterima Jabatan Peguam Negara untuk dibawa ke mahkamah.

Siasatan yang menyeluruh itu termasuk bagaimana kumpulan pengganas mendapat senjata dan bantuan, selain kawasan tumpuan lebih meluas dari Lahad Datu dan Semporna, katanya.

"Sebagai jabatan yang mengetuai aspek siasatan insiden tersebut, tidak dinafikan kita berhadapan dengan pelbagai halangan dalam mengumpul bahan bukti memandangkan kawasan kejadian masih 'panas' dan berisiko tinggi kerana dikhuatiri masih terdapat saki-baki pengganas," katanya.

Beliau berkata polis juga akan berhadapan dengan cabaran untuk mengumpul bahan bukti di lokasi kejadian memandangkan mayat pengganas masih belum dibawa keluar dari lokasi pertempuran.

Selain itu, mayat-mayat itu sudah mula mereput dan ini menyukarkan untuk mendapatkan cap jari dan mengesan identiti, katanya.

Mohd Bakri bagaimanapun berkata siasatan mengenai penceroboh bersenjata di Lahad Datu itu akan dijalankan sebaik mungkin bagi memastikan tiada sebarang pertikaian timbul dalam bukti yang dikumpul.

Mengenai kes jenayah harian, beliau berkata pihaknya turut memandang serius aspek siasatan bagi kes tersebut, walaupun menghadapi pelbagai cabaran iaitu tempoh reman yang tidak mencukupi, pengumpulan bahan bukti, serta memastikan penyiasatan tidak melangkaui hak asasi manusia.

"Kadang-kadang kita tidak mendapat tempoh reman yang cukup untuk menjalankan siasatan terhadap orang kena tuduh kerana dalam tempoh reman banyak perkara yang perlu dijalankan.

"Dari segi pengumpulan bahan bukti, kita perlu kemukakan bahan bukti yang cukup berdasarkan piawaian ditetapkan untuk memastikan kes dapat didakwa di mahkamah yang adakalanya menjadi rintangan yang hebat di bahagian siasatan," katanya.

Beliau berkata dalam menyiasat, hak asasi manusia juga menjadi elemen penting bagi memastikan siasatan yang dijalankan tidak melanggar hak asasi manusia dari awal proses siasatan seperti mengambil keterangan, tangkapan sehingga peringkat seterusnya.

Mohd Bakri berkata selain itu jabatan itu juga berharap dapat memenuhi sasaran 30 peratus kadar pendakwaan kes dibawa ke mahkamah tahun ini bagi meningkatkan kualiti sekali gus meletakkan unitnya setaraf dengan penyiasatan di peringkat global.

Untuk itu, pelbagai aspek perlu diperkemaskan termasuk aspek siasatan, kemampuan pegawai penyiasat dan aset penyiasatan, katanya.

"Ketika ini, jabatan ini sedang dalam usaha mengurangkan bebanan tugasan yang ditanggung pegawai penyiasat bagi memastikan kualiti siasatan sesuatu kes dapat diberi fokus sepenuhnya hingga berjaya dibawa ke peringkat pendakwaan," katanya.

"Untuk itu, pegawai penyiasat perlu fokus hanya purata 1.5 kes sebulan berbanding 10 hingga 15 kes sebulan pada masa ini," dan menambah kerajaan bersetuju untuk menambah bilangan pegawai penyiasat dan penolong pegawai penyiasat yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau berkata pada masa ini jabatan itu mempunyai seramai 12,000 anggota dan pegawai.

Katanya JSJ juga sedang melihat keperluan kepada pertambahan aset yang menjurus kepada siasatan forensik, dan kini setiap kontinjen telah memiliki alat mengesan suspek melalui cap jari termasuk ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dan 'lie detector'.

Mohd Bakri yang memegang pucuk pimpinan JSJ Bukit Aman sejak 2008 meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat kualiti penyiasatan ditambah baik dari semasa ke semasa untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM bahawa Malaysia merupakan negara selamat daripada jenayah luar dan dalam.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.