Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno, ADUN Derga dakwa dihalang pasang bendera

Pemuda Umno Cawangan Tanjung Seri dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga  Dr Cheah Soon Hai hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan ancaman keselamatan terhadap petugas Barisan Nasional (BN) yang memasang bendera di Kampung Chepoh dekat Alor Setar semalam.

    

Laporan itu dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Cawangan Tanjung Seri Mohd Noor Said dan Dr Cheah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di Alor Setar.

    

Mereka mendakwa petugas BN yang memasang bendera dihalang oleh penyokong sebuah parti yang mendakwa kawasan itu hak mereka.

    

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mohd Nor berkata laporan itu dibuat kerana bimbang hal itu akan menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku di kemudian hari.

    

Dr Cheah pula berkata beliau difahamkan Datuk Bandar Alor Setar sudah pun memberi kebenaran kepada semua parti untuk memasang bendera di sekitar kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar selagi tidak melanggar syarat ditetapkan.

    

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang turut hadir di IPD Kota Setar berharap pihak polis memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

- Bernama

ADS