Awang Adek akui jambatan perlu pembaikan

Tiada sebarang keretakan berlaku pada jambatan kedua Sultan Yahya Petra di Kota Bharu yang masih dalam pembinaan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Husin.

Beliau berkata masalah yang berlaku bukan keretakan seperti yang didakwa kerajaan negeri, namun terdapat beberapa kawasan selekoh di atas jambatan yang tidak kukuh yang memerlukan penambahbaikan.

"Ia bukanlah masalah besar dan kita ambil kesempatan tersebut untuk memperkuatkan kawasan yang lemah. Kita jangka kerja baik pulih akan siap dalam masa dua minggu ini dan laluan akan dibuka pada pertengahan April depan," katanya selepas melawat jambatan bersama Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha hari ini.

Awang Adek berkata kontraktor yang dilantik kini giat membaik pulih tujuh selekoh sepanjang kira-kira 210 meter untuk diperkukuh dengan menggunakan besi tetulang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman dilapor sebagai berkata kerajaan negeri mengesan terdapat keretakan pada penyambung pembinaan jambatan itu yang dikhuatiri boleh membahayakan nyawa orang ramai.

Keretakan disah berlaku di penyambung di kawasan jajaran jambatan baru menghala Jalan Wakaf Siku, katanya.

Jambatan sepanjang 800 meter itu merupakan projek kerajaan persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan yang melibatkan kos kira-kira RM177 juta.

Mengulas lanjut, Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata kerajaan PAS Kelantan kini merasa tergugat dengan setiap pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional di negeri itu.

"Pembangkang tak ada kerja. Kita yang buat jambatan untuk selesaikan masalah rakyat. Jadi bila kita selesaikan masalah rakyat, dia rasa tergugat. Jadi dia cari helah," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.