DPMM sanggup keluar modal bina rumah kos sederhana

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memohon kerjasama Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi menawarkan tanah kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) untuk membina rumah kos sederhana.

Menterinya Datuk Seri Chor Chee Heung berkata DPMM bersedia untuk mengeluarkan modal sendiri bagi membangunkan rumah di bawah program Perumahan Kos Sederhana Mampu Milik Konsep SeMalaysia (PPKS).

mca new cabinet member 180308 chor chee heung"Kalau tanah tidak diberikan secara percuma pun tidak mengapa, DPMM sanggup membayar (harga tanah) asalkan ia tidak terlalu tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan laman web PPKS dan menyampaikan hadiah kepada pemenang rekabentuk program itu di Kuala Lumpur hari ini.

Program PPKS merupakan program kendalian DPMM menerusi anak syarikatnya DPMM Perumahan Berhad.

Chor berkata DPMM merupakan satu-satu badan bukan kerajaan yang membangunkan perumahan mampu milik tanpa bermotifkan keuntungan untuk membantu kerajaan menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

"Memandangkan hari ini berlaku peningkatan kos tanah, kos bahan mentah dan kos pembinaan hingga menyebabkan kos rumah yang ditawarkan pemaju swasta menjadi begitu tinggi sehingga rakyat berpendapatan sederhana sukar untuk memiliki rumah," katanya.

Syed ali alattas malay chambers presidentSementara itu Presiden DPMM Datuk Syed Ali Alattas (kiri) mengumumkan pembinaan fasa pertama program PPKS di Taman Uda, Johor Baharu yang berkeluasan 1.4 hektar dengan pembangunan 230 unit pangsapuri.

Manakala untuk fasa kedua, DPMM akan membangunkan 400 unit iaitu 200 unit teres dan 200 unit pangsapuri di atas tanah berkeluasan 2.6 hektar.

"Buat masa sekarang, kami menganggarkan harga untuk seunit rumah di bawah RM200,000 dan pembinaan rumah akan dibuat tahun ini berkemungkinan sekitar bulan Ogos," katanya.

Pada majlis tersebut diumumkan dua pemenang rekabentuk program PPKS iaitu arkitek Jamaludin Mohamad Nor bagi rekabentuk pangsapuri. Beliau menerima sijil dan RM10,000 manakala Arkitek MZD Sdn Bhd bagi rekabentuk pangsapuri yang memenangi RM7,000 dan sijil.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.