Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pemimpin perlu bentuk strategi bangun bakat wanita'

Pemimpin perlu mengubah minda bagi membentuk strategi pembangunan jangka panjang yang berkesan dalam menarik, mengekal dan memajukan bakat wanita di semua peringkat, kata Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri Perdana Menteri berkata ini adalah penting bagi memperkasakan sumber bakat serta mencapai peningkatkan prestasi yang lebih besar.

"Mengambil kerja dan mengekalkan lebih ramai wanita dalam pasaran tenaga kerja bukan sahaja baik untuk perniagaan tetapi ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

"Kepelbagaian gender membawa nilai yang tinggi kepada prestasi sesebuah organisasi. Ia bukan mengenai keghairahan pengambilan atau perubahan proses sumber manusia dalam sesuatu organisasi," katanya ketika merasmikan Forum Wanita Dalam Kepimpinan (WIL) Asia di ibu negara hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Forum tahunan edisi ketiga selama dua hari itu disertai oleh 33 pemimpin wanita dan penceramah terkenal dari 10 buah negara.

Rosmah berkata pengurusan atasan mesti mengubah organisasi daripada hanya mesra wanita kepada salah satu yang membolehkan wanita mengecapi kemajuan dalam kerjaya serta memanfaatkan kekuatan budaya dalam menyokong kepelbagaian gender.

Beliau berkata bilangan wanita pada peringkat pembuat keputusan adalah rendah di Asia di mana hanya 22 daripada 700 lembaga pengarah mempunyai lebih dua anggota wanita di Korea Selatan, Taiwan, Jepun, India, Singapura dan Malaysia.

"Nampaknya China terkecuali di mana 50 peratus syarikat mempunyai anggota wanita dalam barisan lembaga pengarah. Kekurangan wanita di peringkat tinggi merupakan satu paradoks walaupun lebih 50 peratus graduan terdiri daripada wanita," kata Rosmah, yang juga penaung WIL Asia.

"Wanita korporat kebiasaan tertumpu dalam jawatan asas atau pertengahan dengan peratusan rendah golongan wanita memegang jawatan kanan," katanya.

Beliau berkata syarikat di Asia juga telah menimbang dan menilai semula strategi kepelbagaian gender dan pengambilan pekerja wanita.

Beliau berkata kerajaan telah meletakkan isu memperkasakan wanita sebagai agenda utama dalam Rancangan Malaysia ke-10 dengan usaha sedang dilaksanakan dalam merapatkan jurang gender dan menggalakkan wanita menampilkan kemahiran mereka di pasaran kerja.

"Kerajaan akan meningkatkan usaha ke arah menangani isu-isu yang dihadapi oleh wanita bagi membolehkan mereka merealisasikan potensi penuh mereka dan mengambil bahagian secara lebih berkesan dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara," katanya.

Sementara itu itu, pada majlis tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Sintesa, Shinta Widjaja Kamdani memenangi anugerah 'Peneraju Usahawan Wanita Terbaik WIL Asia 2013'.

Kumpulan Sintesa, sebuah sebuah konglomerat terdiri daripada 17 anak syarikat di Indonesia, terbabit dalam pengeluaran produk pengguna dan industri, hartanah dan sektor tenaga.

-Bernama

ADS