Alumni mahu graduan UiTM sertai syarikat gergasi

Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) merancang mengadakan program meningkatkan kemahiran komunikasi siswazah universiti itu agar mereka lebih berkeyakinan untuk menyertai syarikat gergasi antarabangsa.

Presidennya Datuk Mohd Zaini Hassan berkata pihaknya sedang berbincang dengan syarikat tertentu bagi mengadakan kerjasama untuk tujuan itu.

Selain itu PAUiTM juga akan melaksanakan program bagi membantu anak-anak Orang Asli tidak keciciran dalam pelajaran serta berpeluang melanjutkan pelajaran ke UiTM, katanya berucap pada majlis doa selamat dan tahlil sempena pembukaan Rumah Alumni UiTM, di Shah Alam malam tadi.

Bagi tujuan itu, PAUiTM akan cuba mendapatkan dana daripada kerajaan, kata Mohd Zaini yang juga Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan Malaysia.

Pada majlis itu, beliau turut memperkenalkan pasukan bola sepak PAUiTM, dikenali sebagai Alumni UiTM FC yang akan menyertai liga UiTM pada April ini.

Penubuhan pasukan bola sepak PAUiTM itu juga wajar kerana ada penyokong yang terdiri daripada alumni UiTM berjumlah hampir 500,000 di seluruh Malaysia, katanya.

Beliau juga menegaskan dengan anggota sebegitu ramai PAUiTM mempunyai kekuatan sendiri, dan jika setiap anggota menyumbang RM10 sebulan, PAUiTM berupaya mengumpul RM60 juta setahun yang boleh dimanfaatkan termasuk membina hotel sendiri, bukan sekadar memiliki pejabat operasi.

Turut hadir pada program itu ialah Naib Presiden PAUiTM, Datuk Zulkefli Salleh yang juga Ketua Pengarang Bernama.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.