Gandingan Samy-Devamany petanda BN di Sg Siput

Gabungan bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany yang kerap dilihat pada masa sekarang menjadi petanda 'kebangkitan'semula 'kuasa' BN bagi merampas kerusi Parlimen Sungai Siput.

Devamany berkata kehadiran Samy Vellu adalah bagi memperkuatkan kedudukan BN daripada aspek politik manakala peranan beliau terutama mulai dua bulan lepas adalah melaksanakan pelbagai program bantuan di bawah jabatan itu untuk rakyat di Sungai Siput.

"Sudah tentu kita berganding bahu di Sungai Siput. Beliau (Samy Vellu) kinicmemperkuatkan jentera BN, memantau peti daerah mengundi, memainkan peranan bagi kesepaduan komponen BN di sini iaitu Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan IPF untukcmereka bekerja ke arah pilihan raya umum nanti," katanya kepada pemberita di Sungai Siput semalam.

Mengenai cabaran yang akan dihadapi MIC untuk berhadapan dengan pembangkang dalam pilihan raya umum kelak, Devamany yang juga Naib Presiden MIC berkata masyarakat pada masa kini mahu melihat perubahan di depan mata mereka.

Rakyat mahu masalah yang mereka hadapi diselesaikan dengan baik oleh pemimpin kerana menyedari retorik politik tidak mampu membawa perubahan kepada mereka, katanya.

"Adakah pembangkang berupaya mengadakan penyampaian yang baik. Adakah retorik dan demonstrasi jalanan dengan pegang sepanduk boleh membawa perubahan yang baik untuk masyarakat," katanya.

Pembangkang dilihat seringkali membawa perkara yang didakwa mereka sebagai 'isu' nasional, sedangkan dalam masa yang sama tidak menyelesaikan isu setempat yang dekat dengan masyarakat sekali gus menunjukkan mereka tidak bekerja untuk rakyat, katanya.

Beliau berkata imej kerajaan BN yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah sangat baik dan telah memberi impak kepada parti berbanding sebelum ini.

"Sekiranya kita berkhidmat dengan sempurna kepada rakyat, kita yakin mereka juga akan membantu kita semula," katanya.

Pada pilihan raya umum ke-12, Samy Vellu yang mewakili BN dan calon bebas Nor Rizan Onn tewas kepada calon PKR, Dr D. Jeyakumar yang meraih majoriti 1,821 undi.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.