BN S'wak akur dengan calon pilihan Najib

BN Sarawak akan akur dengan keputusan Perdana Menteri dan Pengerusi BN pusat Datuk Seri Najib Razak berhubung senarai calon BN bagi pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa, kata Setiausaha Agungnya Datuk Dr Stephen Rundi.

Beliau berkata senarai calon dari empat parti komponen BN Sarawak yang telah diserahkan dipertimbangkan daripada semua aspek bagi memastikan mempunyai peluang terbaik untuk menang.

"Kami serahkan kepada perdana menteri untuk membuat keputusan muktamad dan akan akur dengannya," katanya kepada Bernama di Kuching apabila diminta mengulas pertemuan antara Najib dan beberapa pengerusi BN dan jawatankuasa Badan Perhubungan Umno negeri, termasuk Ketua Menteri Sarawak selaku Pengerusi BN negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Putrajaya semalam.

Dr Rundi, yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata dengan sokongan 100 peratus, setiap anggota parti gabungan BN negeri harus memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi untuk memastikan kemenangan BN di semua 31 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut sama ada senarai calon yang sedang dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan BN itu akan turut mengambil kira pertukaran di saat-saat akhir di kawasan tertentu membabitkan penyandang yang dikatakan semakin kurang popular di kalangan pengundi.

Berikutan Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011, 31 kawasan Parlimen yang dipertaruhkan akan menyaksikan PBB bertanding di 14 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) (tujuh), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (enam) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) (empat).

Pada pilihan raya Parlimen pada 2008, BN Sarawak memenangi 30 daripada 31 kerusi tetapi hilang satu lagi kerusi kepada parti pembangkang DAP dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada 2010.

Sementara itu, Dr Rundi, yang mempengerusikan mesyuarat parti komponen BN negeri dan setiausaha politik Ketua Menteri di ibu pejabat PBB di Kucing semalam, berkata mesyuarat itu bagi memperhalusi strategi dan persediaan menghadapi pilihan raya yang sedang berjalan dengan lancar.

Dalam memperkukuhkan jentera pilihan raya, Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Presiden PBB Tan Sri Alfred Jabu berkata PBB juga bertanggungjawab membantu tiga lagi parti komponen BN negeri dalam menghadapi pilihan raya.

Dalam menggerakkan jentera pilihan raya, beliau berkata BN negeri tidak boleh alpa dalam menghadapi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.