Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Hampir setiap pagi bermula tahun lepas, sebuah kaunter khas yang dinamakan 'Nicole Wong Work Station' muncul di celah-celah pasar pagi dan di kedai kopi sekitar kawasan Seputeh untuk memberi khidmat kepada masyarakat.      

Inisiatif itu merupakan usaha Pegawai Khas kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Seputeh, Nicole Wong Siaw Ting, 33, malah walaupun baru melahirkan anak lelaki keduanya pada 18 Mac lepas, beliau tetap meneruskan tugasnya untuk membela nasib masyarakat di situ.

Perkhidmatan disediakan Wong atau lebih mesra dengan gelaran 'Amoi Kopitiam' bertujuan untuk memahami masalah penduduk dengan lebih dekat serta berusaha membantu menyelesaikan masalah mereka.

"Saya memilih kedai kopi sebagai lokasi berinteraksi dengan penduduk melalui kios kerana saya tahu kebanyakan masyarakat di sini akan meluangkan masa bersarapan dengan ahli keluarga mereka biarpun sibuk.

"Biasanya, tauke (kedai kopi) akan memberi satu ruang kepada kami untuk menjalankan tugas, jika tidak kami akan mendirikan khemah mini sama ada di bawah pokok berdekatan dengan medan selera ataupun di pasar pagi," katanya kepada Bernama.

Wong, yang juga Timbalan Ketua Beliawanis Wanita Kebangsaan MCA berkata kini 'Nicole Wong Work Station' telah mempunyai tempat tetap apabila beliau menyewa sebuah premis dua tingkat untuk dijadikan pusat khidmat masyarakat tetap bermula Jun tahun lepas.

Beliau akan berada di pusat khidmat masyarakatnya yang terletak di Taman Gembira berdekatan Jalan Klang Lama pada setiap Selasa dan Khamis bermula 11 pagi hingga 8 malam, manakala pada hari-hari lain beliau tetap meneruskan aktiviti membantu masyarakat di kedai kopi dan tempat awam.

"Sejak ia beroperasi, pusat khidmat saya menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada untuk meminta bantuan, membuat aduan dan ada juga yang datang semata-mata untuk memberi sokongan kepada saya " katanya.

Dalam usaha memperoleh kepercayaan penduduk kepada BN, Wong mengakui banyak rintangan terpaksa diharungi ketika menjalankan tugasnya berkhidmat untuk masyarakat Seputeh kerana banyak aduan mereka tidak dapat diselesaikan Anggota Parlimen mereka sekarang.

"Kami sering mendengar rungutan daripada masyarakat setiap kali kami berkunjung ke kedai kopi ataupun medan selera untuk berkhidmat bahawa Anggota Parlimen mereka tidak membuat kerja dan menghiraukan masalah mereka.

"Mereka khuatir sekiranya kami tidak berusaha membantu mereka sudah tidak ada orang lagi yang mengambil berat akan mereka kerana kami tahu MP (Anggota Parlimen Seputeh) sekarang memegang pelbagai jawatan sama ada dalam parti ataupun di peringkat DUN," katanya.

"Apa yang sepatutnya dilakukan sudah kami lakukan, kami cuma berharap agar masyarakat di kawasan Seputeh dapat membuat perubahan memberi kepercayaan kepada kami untuk terus membantu mereka," katanya.

Wong berkata setiap kali aduan dan masalah penduduk diselesaikan, beliau  berasa puas dan segala usahanya berbaloi apabila ucapan terima kasih, dan senyuman daripada masyarakat setempat terhadapnya setiap kali berinteraksi dengan mereka.

"Saya yakin dengan keikhlasan kami yang diberikan itu adalah berbaloi apabila ada di kalangan mereka yang datang ke pusat khidmat masyarakat semata-mata untuk berterima kasih kepada saya, dan saya amat terharu apabila ada juga yang memberi sokongan lisan kepada saya agar terus tabah memberi khidmat terbaik kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Seputeh Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff berkata terdapat perkembangan positif daripada segi sokongan masyarakat Cina di kawasan Seputeh terhadap BN melalui kesungguhan mereka menganjurkan pelbagai progam.

Katanya, meskipun Seputeh merupakan kubu kuat DAP, namun usaha berterusan BN turun padang menjenguk dan memberi bantuan sewajarnya kepada kira-kira 88,000 pengundi di kawasan itu membuahkan hasil positif.

"Ramai penduduk di sini sebenarnya mahukan perubahan. Mereka bukan sahaja mahu masalah mereka diketahui pemimpin tetapi juga mahukan pemimpin mereka menghulurkan bantuan menyelesaikan masalah mereka.

"Kami (BN) telah bersiap sedia. Apa yang patut dilakukan sudah pun dilaksanakan. Cuma kami menunggu sahaja pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan dengan calon bertanding sahaja," katanya.

Kerusi Parlimen Seputeh yang diwujudkan sejak 1986 merupakan kubu kuat DAP selama tujuh penggal, kini disandang Setiausaha Publisitinya, Teresa Kok Suh Sim yang pada masa yang sama turut menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara sejak 1999.

Pada pilihan raya umum 2008 Kok mengalahkan exco Wanita MCA Carol Chew Chee Lin dengan majoriti 36,492 undi.

Menurut portal Suruhanjaya Pilihan Raya, Parlimen Seputeh mempunyai 85,718 pengundi sehingga daftar pemilih yang diwartakan 27 November tahun lepas dengan 89 peratus pengundi Cina, lima peratus Melayu, empat peratus India dan dua peratus bangsa lain.  

Kawasan itu  meliputi Overseas Union Garden, Taman Desa, Seri Petaling, Jalan Klang Lama dan kawasan setinggan Salak Selatan dan Kampung Baru Salak Selatan.

- Bernama

ADS