Menteri: Pusat ICQ di timur Sabah beroperasi Selasa

Tiga pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan beroperasi di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mulai Selasa ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tiga pejabat sementara yang diwujudkan itu akan beroperasi di Lahad Datu, Kudat dan Pos Kawalan Imigresen Bersepadu Kerakit, Pulau Banggi.

"Dua belas kabin akan diguna sebagai pejabat sementara yang merangkumi enam kabin di ICQS Lahad Datu, empat kabin di Kudat dan dua di Pulau Banggi. Semua kabin telah tiba di lokasi Khamis lepas," katanya kepada pemberita ketika melawat tapak ICQS Lahad Datu di Lahad Datu hari ini.

Hishammuddin berkata 14 pegawai akan ditempatkan sementara di setiap ICQS dan pos kawalan yang turut dianggotai unit Risikan dan penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Inisiatif mewujudkan ICQS dan pos kawalan adalah sebagai satu daripada langkah mengetatkan kawalan setempat di pantai timur Sabah di samping memberi kemudahan laluan masuk kepada warga asing dari perairan pantai timur yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah menggunakan laluan yang diwartakan " katanya.

Beliau percaya pelaksanaan ESSCOM yang akan dipantau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi jawatankuasa pemantau dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebagai pengerusi Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) serta Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek menjadi komponen penting bagi menjamin keselamatan negeri ini.

Hishammuddin turut melawat tiga kabin ESSCOM yang ditempatkan di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Lahad Datu ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata pembinaan pusat sementara itu dapat menutup beberapa tempat pendaratan yang menjadi pintu tidak sah termasuk 30 lorong di sekitar perairan pantai timur yang digunakan rakyat asing untuk memasuki negeri ini secara haram.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.