Mustapa: Jika benar laporan NST...

Pendedahan sebuah akhbar tempatan hari ini mengenai masih wujudnya kegiatan tidak bermoral di Kelantan membuktikan negeri itu bukanlah sebuah negeri yang sempurna dan bebas masalah itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata jolokan Serambi Mekah yang diberikan kepada Kelantan bukan bermakna negeri itu tidak menghadapi masalah moral yang sepatutnya tidak berlaku.

"Sekiranya benar laporan itu, ia sesuatu yang mendukacitakan dan kerajaan Kelantan telah gagal menjadikan negeri ini sebagai Serambi Mekah dan rakyat Kelantan perlu membuka minda dengan keadaan itu," katanya kepada pemberita di pejabat Umno Negeri di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar New Sunday Times hari ini yang bertajuk 'Kelantan After Dark' yang mengatakan masih wujud beberapa kegiatan tidak bermoral di Kelantan antaranya membabitkan pelacuran, pengambilan dadah serta perjudian termasuk dilakukan kalangan remaja.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata sepatutnya pihak berkuasa tempatan berusaha mengatasi kegiatan itu dalam usaha memulihkan imej Kelantan terutama sebagai negeri yang dipimpin Islam.

Beliau berkata lebih mengecewakan lagi apabila laporan itu mendedahkan kegiatan tidak bermoral itu berlaku kerana disebabkan masalah kewangan.

"Jadi ini jelas ia membabitkan isu ekonomi, yang menyebabkan berlakunya maksiat di kalangan golongan ini dan kerajaan PAS Kelantan harus pastikan anak muda di negeri ini ada pembelaan serta masa depan terutama dengan menyediakan peluang pekerjaan," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.