'Jangan main kotor jaja nama bekas Puteri'

Pergerakan Puteri Umno Terengganu meminta pembangkang menghentikan permainan kotor dengan menjaja nama seorang individu sebagai bekas Ketua Puteri Umno Kuala Nerus bagi menggelirukan rakyat untuk meraih undi pada pilihan raya umum ke-13.

Ketuanya Nordiana Shafie turut menafikan individu yang dikenali dengan nama Rosni Hassan adalah bekas Ketua Puteri Umno Kuala Nerus seperti digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang.

Beliau menjelaskan Rosni hanya pernah menyandang jawatan Ketua Penaja Puteri Umno cawangan Kampung Banggol Donas, Manir pada tahun 2001 dan kemudiannya beralih parti.

"Kalau betul nak berkempen biarlah dengan cara yang betul, tidak perlu menjadikan Puteri Umno sebagai modal dan sandaran untuk permainan politik," katanya pada sidang media di pejabat Kelab Wartawan Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Pergerakan Puteri Umno tampil merungkai kekeliruan itu setelah tersebar poster dan nama Rosni sebagai bekas Ketua Puteri Umno Kuala Nerus pada ceramah pembangkang yang dijadualkan pada 6 April ini di Manir.

"Pada tahun lalu kita telah membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berwajib menjalankan siasatan namun kini pihak pembangkang sekali lagi menggunakan teknik yang sama bagi menggelirukan rakyat," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.