Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengumuman mengenai pembubaran Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menarik perhatian rakyat Malaysia yang tinggal di China.

"Saya gembira kerana akhirnya perdana menteri membuat pengumuman itu," kata Will J.S Fung, setiausaha agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China.

Fung ialah peguam kanan asing bagi Firma Guaman Grandall yang tinggal di Beijing selama lebih tujuh tahun. Beliau akan mengundi buat pertama kali pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Katanya pengumuman itu akan membantu pengundi di luar negara untuk melakukan perancangan sewajarnya, sama ada pulang ke tanah air untuk mengundi atau berdaftar sebagai pengundi pos.

Sementara itu, Wong Ying Xian, 24, yang tiba di Beijing sebagai pelajar pada 2008 tidak dapat menyembunyikan keterujaannya berikutan pengumuman pembubaran Dewan Rakyat itu.

Wong, yang juga akan mengundi buat julung kali, ketika ini bertugas sebagai wakil khidmat pelanggan bagi sebuah syarikat China, Beijing Golden Sunshine Conference & Exhibition Co.Ltd.

"Wow...akhirnya...(pengumuman pembubaran). Saya teruja sangat. Ini kali pertama saya mengundi, dan saya mengundi sebagai pengundi pos, ia tentunya mengagumkan," katanya.

Berbeza dengan Farasuhada Senusi, 20, yang berasa 'tertinggal' daripada peristiwa besar ini memandangkan beliau belum mencapai had umur layak mengundi.

Farasuhada ialah pelajar tahun kedua di Beijing Language and Culture University sejak September 2011.

"Ramai rakan saya di sini berumur bawah 21 tahun, jadi kami tidak boleh mengambil bahagian dan belum berpeluang untuk mengundi," katanya.

- Bernama

ADS