Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Pahang hari ini menerima watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandatangani Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Watikah itu disampaikan Setiausaha DUN Pahang Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abd Rahmad kepada Pengarah SPR Pahang Othman Noh pada pukul 11.30 pagi.

Othman berkata tindakan selanjutnya watikah itu dihantar kepada SPR Putrajaya.

Beliau berkata seramai 14,396 orang akan ditugaskan pejabat SPR negeri di seluruh Pahang yang mempunyai 561 pusat mengundi termasuk 44 pusat mengundi awal.

Beliau berkata semua peralatan persiapan menghadapi pilihan raya telah dihantar kepada semua pegawai pengurus kecuali kertas undi dan dakwat kekal.

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi DUN. Pada pilihan raya umum 2008, BN memenangi 37 kerusi, dua DAP, dua PAS dan satu Bebas. Calon Bebas di kawasan DUN Tanah Rata, Ho Yip Kap, kemudian menyertai parti Gerakan.

PAS menang dua kerusi DUN iaitu di Beserah dan Kuala Semantan, DAP (dua) di Tras dan Triang sementara bagi kerusi Parlimen, BN tewas dua daripada 14 kerusi parlimen -- Kuantan dan Indera Mahkota.

- Bernama

ADS