Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS Terengganu bakal meletakkan seorang calon wanita untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), setelah kali terakhir menampilkan calon

muslimah pada pilihan raya umum 1959.

Pesuruhjaya PAS negeri Abdul Wahid Endut berkata parti memutuskan meletakkan seorang calon wanita pada PRU kali ini bagi memastikan golongan hawa di negeri ini diwakili di peringkat DUN.

"Calon wanita ini orang tempatan dan ada latar belakang yang menyakinkan," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri di Kuala Terengganu hari ini.

Abdul Wahid bagaimanapun masih merahsiakan DUN mana yang bakal diwakili calon muslimah tunggal itu.

Pada pilihan raya umum 1959, PAS Terengganu meletakkan Khadijah Mohd Sidek di kerusi Parlimen Dungun.

Khadijah mengalahkan Wan Salleh Abdul Kadir mewakili Front Sosialis dan Mohamed Adib Omar daripada Parti Perikatan, dan merupakan anggota Parlimen wanita pertama PAS dan wakil rakyat wanita pertama bagi Terengganu.

Mengenai pembahagian kerusi parlimen di kalangan pakatan pembangkang di Terengganu, Abdul Wahid berkata persetujuan telah dicapai iaitu PAS akan bertanding di tujuh kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) di satu kerusi.

Katanya 40 peratus daripada calon pakatan pembangkang yang akan bertanding di 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU13 terdiri golongan profesional muda.

Dalam pada itu, Abdul Wahid berkata PAS negeri dijangka mengumumkan senarai calonnya untuk bertanding dalam PRU13 pada Khamis depan di Rusila, Marang.

Katanya pengumuman rasmi itu kemungkinan besar dibuat pada sebelah malam bersama-sama PKR.

Namun begitu katanya keputusan untuk mengumumkan senarai calon itu juga bergantung kepada tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada PRU12, PAS menang lapan daripada 32 DUN yang dipertandingkan di Terengganu.

-Bernama

ADS