Awang Tengah: Saya tak rancang tentang Taib Mahmud

Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata beliau memberi sokongan padu kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk terus memimpin Sarawak ke arah mencapai kemajuan ke tahap lebih tinggi.

Sambil menyangkal dakwaan sebuah blog asing, 'Sarawak Report', kononnya beliau mengetuai perancangan untuk menjatuhkan Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), beliau berkata bukan menjadi budaya politiknya untuk menentang Taib atau mana-mana kepimpinan tertinggi.

"Saya seorang pemimpin yang amat menghormati budaya politik kita dan saya tidak bercita-cita untuk pergi lebih jauh memandangkan saya tegas melaksanakan apa jua tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya oleh pucuk pimpinan parti," katanya.

Awang Tengah, yang juga naib presiden kanan PBB, berkata demikian dalam temu bual khas bersama media yang diadakan di pejabat beliau di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya di Kuching semalam.

Apabila ketua menteri menyuarakan hasrat untuk bersara daripada politik, Awang Tengah berkata beliau antara orang pertama yang memujuk Taib agar membatalkan hasratnya itu dan ini menjadi prinsip beliau kerana Taib memerlukan sokongan sedemikian.

"Sejujurnya, saya sangat terkejut apabila mendapat tahu tentang laporan (blog) itu dan begitu juga dengan mereka yang dilibatkan dalam laporan yang memberi sindiran kononnya berlaku masalah dalam PBB. Jadi ini adalah helah untuk mewujudkan perpecahan dalam PBB. Ini bukanlah budaya saya dalam berpolitik," katanya.

Ditanya tentang kewibawaan Sarawak Report, yang tidak pernah memberi laporan yang baik tentang Sarawak dan pemimpinnya, beliau berkata portal itu lebih banyak membuat andaian dan kritikan tidak berasas terhadap kerajaan Sarawak serta pemimpinnya.

Awang Tengah selanjutnya menjelaskan dalam konvensyen PBB terdahulu, beliau diminta bertanding bagi jawatan naib presiden di saat-saat akhir memandangkan beliau sebelum itu tidak berhasrat berbuat demikian namun setelah menang, beliau terpaksa melepaskan jawatan itu secara sukarela demi kepentingan parti.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Taib, Sarawak berada dalam keadaan amat stabil apabila kepimpinan beliau membawa transformasi sosio-ekonomi yang drastik dan berada di tahap yang tinggi menerusi konsep 'politik pembangunan', iaitu bentuk kepimpinan yang mesti disokong untuk memastikan masa depan Sarawak kekal cerah bagi rakyatnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah, yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak, berkata kerajaan negeri gembira kerana cadangan projek hidro elektrik Baram kini mendapat sambutan baik daripada penduduk yang terjejas, termasuk kalangan profesional dari kawasan terbabit.

"Ini berikutan penjelasan yang diberi kepada mereka dan usaha ini akan diteruskan supaya tidak ada lagi tanggapan negatif rakyat berhubung projek itu," katanya, dan menambah wawasan pembangunan ketua menteri termasuk cadangan pembinaan empangan itu di Baram untuk terus merancakkan ekonomi Sarawak.

Kerajaan, katanya, bukan sahaja prihatin dalam penempatan semula penduduk tetapi juga ingin mewujudkan peluang ekonomi yang boleh mereka nikmati sambil merancang kawasan perbandaran baharu Telang Usan yang turut mengambil kira penempatan semula penduduk dan program pembangunan prasarana, ekonomi serta sosial.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.