Tiada saham percuma Felda pada Umno bahagian

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan dakwaan pemimpin pembangkang kononnya beliau memberi percuma 400 lot saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) kepada setiap ketua Umno bahagian negeri di Kelantan.

Mustapa berkata Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa membuat tohmahan itu ketika berucap melancarkan gerakan 'K' kekalkan negeri Kelantan di Machang pada 23 Mac lepas.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis tuntutan maaf dan memberi tempoh 48 jam kepada Husam untuk berbuat demikian.

NONE"Kita akan hantar dalam tempoh terdekat surat berdaftar kepada Exco kerajaan negeri ini (Husam), portal harakahdaily.net iaitu ketua pengarang dan pengarangnya, kerana mengeluarkan dan menyiarkan kenyataan yang menjejaskan kredibiliti dan imej saya, saya pandang berat perkara ini," katanya kepada pemberita di Kota Baharu hari ini.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata sekiranya dalam tempoh 48 jam itu, Husam tidak memohon maaf, peguam beliau akan memfailkan saman fitnah dan tuntutan di mahkamah tinggi.

"Ini adalah satu perkara yang perlu untuk menjaga maruah dan kredibiliti diri saya, saya memimpin kementerian ini (MITI) empat tahun dan berbuat yang terbaik, saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mustapa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, berkata BN Kelantan kini berada dalam 'mood' terbaik dan bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Kata Mustapa, beliau bersyukur kerana pada pilihan raya kali ini, jentera BN akan memasuki medan pertarungan dalam keadaan jauh lebih baik berbanding PRU pada 2008.

"Saya berharap semua pihak akan berlaku adil, bertanggungjawab, menjaga kata-kata dan mengelak daripada menimbulkan ketegangan," katanya.

Mengenai manifesto pilihan raya, Mustapa berkata manifesto BN Kelantan akan diumumkan selepas manifesto nasional dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak sedikit masa lagi.

Beliau berkata selain menawarkan beberapa perkara baharu, manifesto peringkat negeri itu akan meliputi tujuh janji yang dibuat oleh perdana menteri untuk memajukan Kelantan semasa lawatan beliau ke negeri ini pada 20 Januari lepas.

Ia termasuk pembinaan lebuh raya dari Kuala Krai-Kota Baharu, stadium, masjid yang akan menjadi ikon di negeri ini, kampus bandar Universiti Teknologi Mara Kota Baharu dan perkhidmatan Rapid Kota Baharu.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.