Najib: Saya telah sahut seruan inginkan kebebasan

Teras transformasi negara adalah perpaduan nasional tanpa keciciran mana-mana masyarakat pelbagai kaum di saat negara menuju ke arah menjadi negara maju, kata Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Perdana Menteri menerusi blog 1Malaysia berkata beliau percaya prinsip 1Malaysia terhasil dengan pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada rakyat sehinggalah ke hari ini.

"Daripada perumahan, penjagaan kesihatan hinggalah ke makanan dan pendidikan, anda boleh melihat begitu banyak program bertemakan 1Malaysia yang menyediakan perkhidmatan yang berpatutan dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata Program Transformasi Ekonomi telah membawa hasil yang jelas sehingga melonjakkan Malaysia ketika banyak negara lain masih terbelenggu dengan bebanan hutang dan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah.

"Mengenai kemajuan ekonomi, sewaktu saya mula memegang jawatan ini, ekonomi global sedang berada dalam keadaan tidak menentu. Untuk melindungi Malaysia daripada 'bencana' ekonomi ini, kita terpaksa mengambil langkah-langkah yang berani dan tegas untuk terus menjana ekonomi kita," katanya.

Najib berkata ekonomi negara telah berkembang pada kadar purata sebanyak 5.6 peratus serta membuka banyak peluang pekerjaan serta memberi kemakmuran kepada rakyat.

Menyentuh mengenai transformasi politik, sejak tahun 2009, Najib berkata beliau telah menyahut seruan rakyat yang inginkan lebih banyak kebebasan dengan memperkenalkan pakej reformasi politik yang telah mencatatkan peningkatan terbesar dalam sejarah kebebasan awam negara sejak merdeka.

"Ini termasuklah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, memberikan kelonggaran terhadap penyertaan pelajar dalam politik, memerdekakan undang-undang berkenaan media dan memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman.

"Saya juga sedang melihat untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan undang-undang yang lebih sesuai untuk zaman kita kini," katanya.

Mengenai aspek global, Najib berkata amat penting buat Malaysia untuk mengekalkan hubungan yang erat dengan sekutu dan jiran-jirannya dan bertindak sebagai pengaruh yang positif di persada dunia.

"Dalam hal ini, kita telah bekerja keras dan dengan niat yang mulia, membantu menggalakkan keamanan yang berkekalan di kawasan-kawasan yang bermasalah di rantau kita ini.

"Melalui Pergerakan Kesederhanaan Global, kita juga telah cuba untuk merapatkan jurang perbezaan antara Timur dan Barat serta menunjukkan bahawa Islam adalah satu agama keamanan. Pergerakan Kesederhaan Global telah mendapat pujian daripada ramai pemimpin dunia, termasuklah Presiden Barack Obama dan Perdana Menteri Britain, David Cameron," katanya.

Najib berkata kerajaan dapat mendengar suara hati rakyat serta berkongsi maklumat menerusi saluran dalam talian (online) yang baharu iaitu memudahkan komunikasi antara rakyat dengan kerajaan seperti melalui Facebook dan Twitter yang membuktikan penglibatan kerajaan dan rakyat.

"Saya bukan sahaja telah berpeluang untuk berkongsi maklumat malah dapat juga mendengar suara hati rakyat. Apa yang nyata, era ‘Kerajaan tahu segalanya' kini telah berakhir," katanya.

Najib berkata meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai, namun masih banyak lagi yang perlu diusahakan.

Oleh itu, beliau menyeru sokongan rakyat bersama-sama dengan kerajaan bergerak ke hadapan, dan menikmati empat tahun lagi yang penuh dengan kemajuan dan kemakmuran.

Dalam pada itu Najib turut meyifatkan semalam merupakan hari yang istimewa buat beliau berikutan genap empat tahun menjadi Perdana Menteri di sebuah negara yang aman dan sedang membangun dari segi saiz serta ekonominya.

Sementara itu Najib menerusi laman twitternya menyeru rakyat mendapatkan 'Kit Tindakan' bermula hari ini sebagai tanda sokongan kepimpinan beliau.

"Tunjukkan sokongan anda kepada saya dengan mendapatkan Kit Tindakan anda hari ini di http://www.1Malaysia.com.my/action/. #JomBertindak demi Malaysia," katanya.

Kit Tindakan mengandungi buku panduan mengundi dengan maklumat ringkas dan mudah serta memberi panduan bagi seorang pengundi perlu menyiapkan diri untuk menunaikan hak mereka dengan cara yang teratur.

Buku tersebut mengandungi 10 tajuk berkaitan pengundian termasuk syarat kelayakan mengundi serta cara menyemak status daftar pemilih di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.