Bekas ketua DHPP PAS mahu tanding Bebas

Bekas Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pulau Pinang Ooi@A. Vellautham yang mahu bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya umum kali ini, yakin dirinya dapat diterima pengundi di
kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.
    
Katanya beliau mempunyai kriteria yang diperlukan masyarakat di situ, termasuk kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin serta dialek Kantonis dan Hokkien, selain bahasa Melayu, Tamil dan
Inggeris.
    
"Saya sudah sebati dengan masyarakat di sini kerana telah tinggal di Bayan Lepas lebih 40 tahun dan saya rasa tiada masalah memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat jika masyarakat sebulat suara
memberi kepercayaan kepada saya," katanya kepada Bernama.
    
Pengamal perubatan homeopati berusia 73 tahun itu juga berjanji untuk menyalurkan semua gajinya sebagai anggota dewan undangan negeri ke dalam tabung kebajikan penduduk Bayan Lepas, jika beliau
menang.   
    
Pada 1 Mac 2012, Ooi membuat kenyataan dirinya tidak lagi mempunyai kaitan dengan PAS dan juga pakatan pembangkang selepas berasakan sumbangannya kepada PAS selama ini tidak dihargai.

'Yaakob Menang, Jelutong Senang'
    
Sementara itu, seorang kontraktor Mohamed Yacoob Mohamed Noor, 24, pula berhasrat bertanding di kerusi DUN Sungai Pinang dan Parlimen Jelutong.
    
"Walaupun tiada pengalaman tapi semangat memang berkobar-kobar. Saya juga sudah beberapa kali buat program 'himpunan rakyat' sendiri dan berdasarkan pemerhatian, ramai orang mulai menyokong
saya," katanya.
    
Beliau yang berkempen dengan slogan 'Yaakob Menang, Jelutong Senang', berkata jentera pilihan rayanya telah bergerak sejak 19 Mei tahun lepas.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.