Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Kedah: PAS kekal, rakyat lebih sengsara
Diterbitkan:  Apr 6, 2013 10:45 AM
Dikemaskini: 2:47 AM

Golongan muda di Kedah kini semakin bijak menilai kelemahan yang cukup ketara sepanjang lima tahun kerajaan negeri diterajui PAS yang menyebabkan banyak masalah di negeri ini, kata Ketua Pemuda Umno Kedah Badrol Hisham Hashim.

Beliau berkata masalah yang berlaku seperti kes Kolej Universiti Insaniah (Kuin), kurangnya peluang pekerjaan, penebangan balak secara rakus dan banyak lagi masalah lain adalah contoh yang boleh dilihat golongan muda yang memberi kesan kepada negeri Kedah.

Katanya jika kerajaan yang sama kekal untuk tempoh lima tahun lagi, rakyat Kedah akan lebih sengsara dan golongan muda terpaksa berhijrah ke negeri lain.

Beliau yakin golongan muda di Kedah yang melihat perkara ini akan kembali cenderung menyokong BN dan yakin pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) mereka akan berpihak kepada BN.

"Saya lihat transformasi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak banyak menyentuh perasan dan naluri orang muda. Saya yakin dengan program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk orang bujang, rebat telefon, baucar buku, program rumah pertama dan sebagainya, ini satu sentuhan cukup berkesan," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Katanya walaupun orang muda kebanyakannya tidak terlibat secara langsung dalam politik, mereka mendapat maklumat yang tepat, serta dapat menilai selama lima tahun PAS memerintah, banyak pembohongan dibuat kepada rakyat selain gagal menyelesaikan masalah orang muda seperti yang mereka janjikan.

"Mereka kini lebih mengetahui kerajaan mana yang dapat bantu mereka, dan mereka akan terjemahkan menerusi undian kepada BN. Mereka tahu kalau Kedah terus ditadbir PAS akan habis hutan, pasir dan habis institusi yang Kedah akan jadi mundur," katanya.

Berdasarkan senarai daftar pemilih terbaharu pengundi di Kedah adalah 1,043,281 orang dengan mereka yang berusia 21 hingga 40 tahun adalah 470,561 orang, iaitu hampir 45 peratus.

Sementara itu, Badrol Hisham berkata mereka akan menerima sesiapa sahaja calon yang diketengahkan pucuk pimpinan parti dan akan bekerja untuk memenangkan calon tersebut.

"Pemuda akan sokong calon yang dipilih. Tanggungjawab kami untuk pastikan orang muda dan Kedah dapat ditawan kembali. Pemilihan calon kali ini agak teliti melibatkan beberapa saringan," katanya.

- Bernama

ADS