'Memikat ketika mereka berbalah'

Tatkala kain rentang dan bendera parti mula memenuhi seluruh pelosok negara, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal mengumumkan manifesto Barisan Nasional (BN) malam ini yang akan menekankan komitmen berterusan beliau untuk membawa perubahan bermakna yang akan mengubah kehidupan semua rakyat Malaysia.

Pentasnya ialah di Stadium Tertutup Putra di Bukit Jalil, venue bagi sebilangan pemain badminton negara yang telah berjuang dan menitiskan keringat untuk mengharumkan nama Malaysia.

Najib, yang mengetuai BN buat julung kalinya dalam pilihan raya umum sebagai perdana menteri, akan disertai pemimpin-pemimpin parti komponen gabungan itu yang mewakili semua kumpulan etnik dan negeri di bawah pemerintahan BN.

Selaras dengan manifesto BN pusat itu, setiap negeri juga akan mempunyai manifesto sampingan untuk memenuhi keperluan dan menyelesaikan isu setempat.

Tempoh pilihan raya umum ke-13 semakin memuncak hari ini apabila Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan ia akan mengadakan mesyuarat Rabu ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Perdana Menteri menjalankan tugas seperti biasa hari ini dengan merasmikan majlis pecah tanah projek Masjid Cyberjaya bernilai RM62 juta dan beliau turut mengumumkan projek pusat bandaraya Cyberjaya RM6 bilion serta projek pembangunan bercampur RM1 bilion yang turut termasuk 749 unit rumah mampu milik berharga RM220,000 dan RM250,000 sebuah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia(PR1MA).

Sementara itu, isyarat daripada parti-parti politik membayangkan pemilihan calon dan pembahagian kerusi masih dibincangkan.

Soalan cepumas ialah sama ada Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman akan berdepan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah.

Abdul Ghani, yang menerajui Johor selama empat penggal, tidak menafikan atau mengesahkannya semasa ditanya oleh wartawan semasa ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Ledang yang merupakan kawasan Parlimen yang turut meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri Serom yang dipertahankannya pada pilihan raya umum 2008.

Beliau hanya menjawab: "Nanti".

Keputusan Lim untuk bertanding di Gelang Patah buat pertama kalinya tidak dipersetujui anggota akar umbi, menurut Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Datuk Seri Chua Jui Meng yang juga berhasrat bertanding di kerusi itu.

Selepas membisu selama dua minggu, Chua telah mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dan berkata penduduk setempat kecewa dengan pucuk pimpinan pembangkang yang tidak membenarkan beliau (Chua) bertanding di kerusi itu.

Masih belum diputuskan di mana beliau akan bertanding, katanya.|

Semalam juga, satu lagi kemelut timbul dalam PKR selepas Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isterinya, tidak akan bertanding dalam pilihan raya, namun anak mereka Nurul Izzah, yang juga naib presiden parti menyangkalnya dan segera dijawab oleh timbalan presiden Mohamed Azmin Ali yang menyatakan kenyataan Anwar itu adalah betul.

Anwar membuat kenyataan itu dalam temu bual dengan stesen televisyen Al-Jazeera pada Rabu semasa beliau ditanya mengenai kritikan wujud nepotisme dalam parti itu.

Nurul Izzah yang menyangkal kenyataan Anwar sebagai "cakap-cakap politik", berkata tidak wujud perancangan sebegitu.

Mohamed Azmin semalam menegaskan Dr Wan Azizah tidak akan bertanding dan sebaliknya beliau akan menjelajah ke seluruh negara untuk memancing undi kaum wanita, meskipun Dr Wan Azizah pada minggu lepas menyatakan beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.