Pak Lah: Kit Siang bimbang ditolak di tempat sendiri

Tindakan beberapa pemimpin pembangkang termasuk penasihat DAP Lim Kit Siang untuk tidak mempertahankan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kerana bimbang ditolak oleh pengundi di kawasan mereka, kata bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata kecenderungan para pemimpin pembangkang melompat kerusi menunjukkan mereka gagal memberi khidmat kepada pengundi dan membawa pembangunan di kawasan yang diwakili mereka.

NONE"Seandainya mereka ini aktif di kawasan seperti wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN), sudah pasti akan terus pertahankan kerusi yang ada," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Program Baiki Rumah oleh Giat Mara di Pokok Jenerih, di Kepala Batas semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Kit Siang, yang sebelum ini menyandang kerusi Parlimen Ipoh Timur, di Perak, mahu bertanding di Parlimen Gelang Patah di Johor.

Abdullah, yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, berkata rakyat perlu sedar tentang perkara itu dan membuat keputusan yang sewajarnya kerana pasti ada sebab mengapa pemimpin pembangkang enggan mempertahankan kerusi mereka.

Beliau meminta rakyat terus memberi mandat kepada kerajaan BN kerana terbukti mereka menjaga kebajikan rakyat menerusi pelbagai program transformasi.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.