Minda Pondok cabar Nik Aziz, Hadi debat lagi

Minda Pondok-Pondok Negeri Kelantan sekali lagi mempelawa pemimpin Pas terutamanya Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya berdebat dengan mereka bagi mencari penyelesaian berhubung isu mengkafir dan fatwa pelik yang sering dikeluarkan sehingga mengelirukan umat Islam di negara ini.

Pengerusinya Zainal Abidin Awang berkata mereka mahu berdebat dengan Nik Abdul Aziz atau Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana sering mengeluarkan kenyataan pelik yang dianggap sebagai fatwa oleh pengikut PAS selama ini.

"Dah dua tahun sejak tahun 2011 saya mengajak pemimpin PAS terutama Nik Aziz Nik Mat mengadakan debat tetapi mereka langsung tidak menyambut pelawaan kami malah terus mengeluarkan pelbagai fatwa mereka sendiri dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas majlis ceramah bertajuk "Tujuh Dalil Haram Undi PAS" di hadapan lebih 5,000 hadirin di Jerteh Souq di Besut malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zain .

Mengenai 'fatwa' terbaharu Nik Aziz bahawa ‘Solat orang UMNO tak dapat pahala", beliau berkata soal itu hanya ditentukan oleh Allah semata-mata dan bukan Nik Aziz.

Zainal Abidin juga meminta PAS menunjukkan bukti dan fakta dan bukan setakat membuat tohmahan bahawa mereka menentang Umno kerana parti itu menolak Islam sedangkan pemimpin Umno selama ini tidak pernah menolak Islam.

Ia adalah semata-mata dakwaan Nik Aziz yang mahukan pengikut dan umat Islam membenci Umno dan pemerintah, katanya sambil menambah bahawa PAS sendiri menukar agenda menegakkan negara Islam menjadi negara berkebajikan selepas bersekongkol dengan DAP.

Beliau juga menasihatkan penyokong PAS yang tenggelam dalam pengaruh parti itu supaya bersikap lebih terbuka dalam isu ini demi masa depan Islam dan menolak Parti Ajaran Sesat (PAS) itu.

Sementara itu, ketika berceramah Zainal Abidin berkata antara dalil haram undi PAS adalah berikutan beberapa tindakan parti itu kebelakangan ini termasuk membenarkan penggunaan kalimah Allah untuk orang bukan Islam dan sering mengeluarkan fatwa-fatwa yang bercanggah dengan Islam dari semasa ke semasa.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.